Villa Nabila

Filem cereka dokumentari seram 2015 arahan Syafiq Yusof

Villa Nabila merupakan sebuah filem cereka dokumentari seram Malaysia 2015 arahan Syafiq Yusof, dibintangi oleh Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir.[2] Filem ini mengisahkan mengenai pengalaman sebenar buruh kasar yang ditugaskan untuk merobohkan banglo Villa Nabila.[3] Ia merupakan filem ketiga arahan Syafiq dan telah ditayangkan kepada umum pada 15 Januari 2015.[4]

Villa Nabila
Poster keluaran tayangan
PengarahSyafiq Yusof
Lakon layarSyafiq Yusof
Cerita oleh
  • Daniel Matin
  • Rosalli Azrin
Dihasilkan oleh
  • Nazrul Afifi Mohd Nayan
  • Dinie Shuhaimi
Dibintangi
SinematografiRahimi Maidin
Disunting olehSyafiq Yusof
Syarikat
penerbitan
Viper Studios
Diedarkan olehSkop Productions
Tarikh tayangan
15 Januari 2015 (Malaysia, Brunei & Singapura)
Masa tayangan
83 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.2 juta
Pecah panggungRM 2.8 juta[1]

Plot

Filem ini terbahagi kepada dua segmen. Bahagian pertama ialah paparan dokumentari kajian mendalam mengenai latar belakang banglo Villa Nabila dari sumber media cetak, media elektronik dan media digital atau internet yang diadun sebagai sebuah filem pendek oleh Daniel Matiin dan Rosalli Azlin. Manakala bahagian kedua ialah filem cereka eksperimental arahan Syafiq Yusof yang dibikin semula berdasarkan temu bual pihak produksi dengan 2 orang pekerja kontrak bernama Asyraf (Pekin Ibrahim) dan Amar yang terlibat dalam kerja-kerja untuk merobohkan rumah itu.

Pelakon

  • Pekin Ibrahim sebagai Asyraf
  • Tisha Shamsir sebagai Huda
  • Mohd Fazly Izwan sebagai Manaf
  • Faizul Yusof (Mok) sebagai Amar
  • Hilmi Merong sebagai Ishak
  • Mohd Rizal Dasuki sebagai Junaidi
  • El-Ghassani sebagai Khairul
  • Bard Ketampi sebagai Jaapar
  • Nur Amalina Nadia sebagai Hantu 1
  • Anna Syariela sebagai Hantu 2
  • Pacak sebagai sebagai Jiran Asyraf

Penerbitan

Penerbitan filem berdasarkan Villa Nabila mulai hangat diperkatakan pada tahun 2013 selepas kes kehilangan 23 orang remaja di situ.[5][6][7][8] Expedia.com menyenaraikan tempat ini sebagai antara lima kawasan paling berhantu di Malaysia.[9] Pada mulannya, KRU Studios dan MIG yang pertama tampil untuk membuat filem berdasarkan kisah di Villa Nabilla. Penerbit MIG, David Teo mulanya merancang akan menjadikan filem tersebut sebagai sekuel kepada filem Highland Towers.[10][11][12][13][14] Walau bagaimanapun, akhirnya Skop Productions yang berjaya mendapatkan hak penerbitan filem yang menggunakan tajuk ini dari FINAS, seminggu selepas kes kehilangan remaja tersebut dilaporkan.[15]

Syafiq Yusof awalnya mahu menjadikan filem ini sebagai telefilem dokumentari[16] berdasarkan dokumentari yang telahpun disiapkan oleh Daniel Matin dan Rosalli Azrin mengenai kehilangan remaja tersebut namun menukar fikiran pada saat-saat akhir.[17] Walaupun menghasilkan misteri Villa Nabila, jelas Syafiq, pihaknya tidak merakam peristiwa sebenar, sebaliknya ia berupa rangkuman beberapa cerita mistik yang dikaitkan dengan kediaman usang itu.[18][19][20]

Keluaran dan sambutan

Tayangan

Villa Nabila telah ditayangkan di 70 pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura dan ditayangkan kepada umum pada 15 Januari 2015. Ia juga telah ditayangkan di Marché du Film sempena Festival Filem Cannes 2015.[21] Filem ini juga telah dipertontonkan di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Catalonia (SITGES) 2015 di Barcelona, Sepanyol pada 9 Oktober 2015, ia menjadi satu-satunya filem Asia yang menyertai SITGES.[22]

Kutipan

Filem ini mengumpul kutipan RM 350 ribu selepas dua hari tayangan.[23] Dalam tempoh enam hari tayangan, Villa Nabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM1.3 juta.[24] Filem ini berjaya mengumpul kutipan akhir sebanyak RM 2.8 juta pada minggu terakhir tayangan.[25]

Ulasan kritis

Rata-rata ulasan mengenai filem ini ialah positif. Portal hiburan Ohbulan.my mengulas filem ini sebagai "Genius!"[26] Ajami Hashim dari portal hiburan Rotikaya.com memberi 4 biji Rotikaya.[27] Suhaimi Suib dari portal hiburan SkorBintang.com pula memuji sinematografi dan kesan bunyi filem ini tetapi kecewa dengan mutu lakonan para pelakon.[28] Harian Metro pula memuji mood seram yang berjaya ditonjolkan oleh Syafiq Yusof.[29]

Tayangan media

Villa Nabila dipertontonkan buat pertama kalinya di Astro First pada 5 Februari 2015 dan disiarkan buat pertama kali di Astro Citra pada awal 2016.[30]

Anugerah dan pencalonan

TahunAnugerahKategoriPenerima/Karya tercalonKeputusan
2016Festival Filem Malaysia ke-28Penataan Bunyi TerbaikImaginex StudioTercalon

Rujukan

Pautan luar