Spider (kumpulan muzik)

Spider merupakan kumpulan rock Malaysia.[1] Mereka dikenali kerana membawakan lagu-lagu rock yang mempunyai pengaruh ska. Ditubuhkan pada tahun 1996, Spider pada asalnya terdiri daripada 4 orang anak muda dari Johor iaitu Tam, Nafie, Tony dan Yem. Bakat mereka diasah oleh komposer terkenal Sifu M. Nasir di bawah syarikat rakaman Luncai Emas. Kumpulan ini telah merakamkan 6 album studio.[2] JohorKini telah menyifatkan Spider sebagai "serangga genius dari Johor".[3]

Spider
Spider membuat persembahan semasa sesi raptai Anugerah Juara Lagu ke-23 pada 17 Januari 2009. Dari kiri ke kanan: Tam Mustafah dan Tony Iskandar.
Latar belakang
Berasal dariJohor, Malaysia
Genre
Tahun aktif1996–kini
Syarikat rakaman
Luncai Emas
AhliTam - vokal & gitar
Nafie - gitar utama
Aie - dram
Is - bass
Bekas ahliTony - bass (meninggal dunia)
Yem - dram
Zul - vokal

Sejarah

Spider telah ditubuhkan pada tahun 1996 di Johor Bahru, Johor.[4][5] Pada asalnya, kumpulan ini mempunyai lima orang anggota di mana semua anggotanya berasal dari negeri Johor iaitu Zul (vokal), Tam (gitar kedua), Nafie (gitar utama), Tony (bass) dan Yem (dram). Ketika mereka tinggal di Johor Bahru, mereka sering bermain muzik di studio kenalan mereka di Taman Johor Jaya.

Pada tahun 1998, mereka pergi ke Kuala Lumpur untuk merasai pengalaman bermain muzik di studio rakaman yang lebih baik. Pada waktu itu, mereka hanya pergi secara suka-suka sahaja dan tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk menjadi artis rakaman. Ketika berada di sana, mereka telah singgah di studio rakaman Luncai Emas yang juga studio milik M. Nasir.[6][7] Mereka kemudiannya bermain muzik sambil merakamkan lagu di dalam tape mereka sebagai kenangan sebelum pulang ke Johor.

Setelah siap merakamkan lagu yang dimainkan mereka di studio, M. Nasir yang ketika itu datang ke studio telah meminta pekerjanya memasang tape untuk mendengar lagu-lagu yang telah dimainkan oleh mereka. Secara tidak sengaja pekerjanya terlupa untuk menghentikan tape tersebut dan M. Nasir terdengar suara penyanyi yang berbeza pada lagu terakhir yang mereka rakamkan. Secara spontan beliau bertanya kepada mereka siapa yang menyanyi lagu tersebut. Tam yang ketika itu berasa gementar menjawab bahawa sebenarnya dia yang menyanyikan lagu tersebut. Pada masa itulah M. Nasir menyatakan bahawa kumpulan ini boleh menjadi artis rakamannya jika Tam yang menjadi vokalis. Ini menyebabkan Tam berasa serba salah dan hendak berundur dari kumpulan tersebut kerana tidak mahu menghampakan Zul. Setelah pebincangan diadakan antara mereka berlima, Zul telah mengambil keputusan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada Tam untuk menjadi vokalis memandangkan Spider mempunyai potensi yang tinggi untuk menyinar dalam industri muzik tempatan. Maka bermulalah karier kumpulan Spider sebagai artis rakaman.[8]

Pada tahun yang sama, mereka telah menghasilkan album studio pertama yang berjudul Ngam Ho di bawah label Life Records. Album ini telah memperkenalkan nama mereka dalam industri muzik tanah air dengan lagu hitnya, "Mungkinkah Terjadi". Namun di kala mereka menempa nama dalam industri, pemain dramnya, Yem telah mengundurkan diri menyebabkan kumpulan ini tinggal tiga anggota sahaja.

Pada tahun 2002, Spider telah menghasilkan album studio kedua yang diberi judul Aladin dengan keahlian Spider masih kekal tiga orang. Kali ini, album mereka diterbitkan di bawah label Luncai Emas dan diedarkan oleh NAR Records. Dalam album ini, mereka mengambil beberapa pemuzik undangan di posisi dram, kecuali lagu berhantu mereka Aladin di mana pemain bes Spider, Tony yang bermain dram untuk lagu tersebut. Album ini telah meletup di pasaran dengan jualan melebihi 60,000 unit. Selain Aladin, lagu hit lain dalam album tersebut ialah Kekal, Kasih Latifah, Kau Saja dan Laukku Cukup Masin. Populariti Spider yang meningkat naik pada waktu itu mendorong kepada penghasilan filem Gosok dan Gosok 2 oleh syarikat rakaman Music Valley Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004, album studio ketiga berjudul Nazraku telah dikeluarkan.[9][10][11] Dalam album ini, Spider kembali berempat dengan kemasukan pemain dram baharu, Azhri Nasir atau Aie yang juga adik kepada gitaris utama kumpulan Exists, Azhrul Nasir atau lebih dikenali sebagai Along. Album ini turut meletup dengan lagu-lagu hit seperti Nazraku, Cinta Dewa Dewi dan Relaku Pujuk. Album ini telah membawa tuah kepada mereka apabila memenangi anugerah Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 12. Tidak cukup dengan itu, Spider juga menggondol dua anugerah di Anugerah Juara Lagu 2004 sebagai Juara Kategori Pop Rock, sekaligus dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan menerusi lagu Relaku Pujuk.[12][13]

Pada tahun yang sama juga, Spider membintangi filem Bintang Hati arahan Aziz M. Osman lakonan Amy Mastura yang melakonkan dua watak. Mereka melakonkan watak sebagai pemuzik dan peniaga burger.[14]

Spider ialah antara artis Malaysia yang menyumbangkan suara untuk sebuah lagu khas bertajuk "Suluhkan Sinar". Diterbitkan oleh KRU dan dikeluarkan pada Januari 2005, lagu ini ditujukan khas kepada mangsa-mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami Lautan Hindi 2004 dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak. Artis-artis lain yang terlibat dalam projek ini ialah peserta-peserta Akademi Fantasia, Erra Fazira, Dayang Nurfaizah, Alleycats, Jaclyn Victor, AC Mizal dan Anita Sarawak.[15]

Pada tahun 2007, Spider telah menerbitkan album studio keempat yang berjudul Bintang 12. Album ini telah mendapat sambutan ramai selain mendapat pujian pihak media kerana kreativiti mereka menerusi lagu hit Mabuk, Salut, Anti Graviti dan Bila Nak Saksi.[16][17][18] Album ini juga telah dicalonkan menerusi kategori Album Rock Terbaik di AIM 15.

Pada tahun 2010, Spider melancarkan album kelima, KitaSatu. Ini merupakan album Spider pertama tanpa sentuhan Loloq.[19][20]

Pada tahun 2012, pemain bass Spider, Tony telah mengambil keputusan untuk keluar setelah mengambil kira faktor keupayaannya yang semakin berkurangan ketika bermain di atas pentas. Tempat Tony kemudiannya digantikan oleh bekas anggota Bau, Is yang sudah lama mengenali anggota-anggota Spider termasuk Tony. Biarpun Tony bukan lagi anggota Spider, Tony tetap menyokong perjuangan Spider dan seringkali membuat kerja di belakang tabir bersama anggota Spider.

Dengan kemasukan Is sebagai pemain bes Spider yang baharu, mereka telah menghasilkan album studio yang berjudul Ankabut pada tahun 2016.[21][22] Berlangsung pada 2 Mac 2018 di Dewan TAR MATIC Jalan Ampang, konsert Showcase Spider Lampu Ajaib menyaksikan Spider menghiburkan peminat dengan mempersembahan 19 lagu-lagu popular mereka. Konsert ini menjadi kejayaan komersial.[23][24]

Kumpulan ini membuat persembahan secara langsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 8 Mac 2020.[25]

Pada 30 Jun 2021, bekas pemain bes Spider, Tony meninggal dunia pada usia 51 tahun di ibu pejabat Luncai Emas selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh gitaris, Nafie.[26][27][28]

Kontroversi

Sekitar 2005, Spider dihimpit dengan kontroversi apabila mereka diberitakan mahu keluar daripada Luncai Emas. Krisis ini menjadi bualan wartawan dan petugas media, malah peminat kumpulan itu mengandaikannya sebagai hanya khabar angin.[29][30] Bagaimanapun pada Mei 2006, Spider menafikan dakwaan tersebut dan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka masih bersama Luncai Emas.[31]

Ahli kumpulan

Ahli terkini

  • Tam - gitar kedua (1996–kini), vokal (1998–kini)
  • Nafie - gitar utama (1996–kini)
  • Aie - dram (2003–kini)
  • Is - bes (2012–kini)

Bekas ahli

  • Zul - vokal (1996–1998)
  • Yem - (1996–1999)
  • Tony - bass (1996–2012; meninggal dunia 2021)

Diskografi

Album studio

  1. Ngam Ho (1999)
  2. Aladin (2002)
  3. Nazraku (2004)
  4. Bintang 12 (2007)
  5. Kitasatu (2010)
  6. Ankabut (2016)

Album secara langsung

  1. Spider Live at Planet Hollywood (2005)[32]

Album kompilasi

  1. Sarang Hits (2006)

Single

TahunJudul LaguKedudukan Tertinggi CartaAlbum
EraMuzik.fmBaik BangetMuzik-muzik
1999"Mungkinkah Terjadi"8Ngam Ho
"Ngam Ho"91014
"Tak Esok Lusa"
"Crying In The Rain" (versi Bahasa Inggeris)
14510
2002"Aladin"1111Aladin
"Kasih Latifah"1171
"Laukku Cukup Masin"852
"Kekal"13
2003"Kau Saja"74
"Mentera Semerah Padi"
duet bersama M. Nasir
42Sifu
2004"Kacap Terlabik"Nazraku
"Relaku Pujuk"1111
"Nazraku"31
"Cinta Dewa Dewi"13141
"Buat Sang Puteri"12
2005"Jangan Kau Berputus Asa"25
"Suluhkan Sinar"
nyanyian bersama Anita Sarawak, Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Ezlynn, Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor,
Siti Sarah, Vince Chong, Zahid Baharuddin, Hazami, Fazley Yaacob,
kumpulan Rabbani,Alleycats, Ruffedge, KRU dan Raihan
dengan sokongan Waheeda, DJ Dave, Yana Samsuddin, AC Mizal, Azharina Azhar, Malissa
Januddin, Ifa Raziah, Juliza Adzlizan, Salimah Mahmood,Sasi The Don, kumpulan Nitrus, Sofaz,
Def Gab C, Phynne Ballerz,Pretty Ugly, Slam, Newboyz, By'U, D;Va,
dan pelajar Akademi Fantasia
CD Amal Tsunami
"Dunia Batinku"
duet bersama Ella
541Best of Ella
2006"Sesat Dalam Gelita"113Sarang Hits
"Telinga Ke Tulang"113OST Cicakman
2007"Mabuk"722Bintang 12
"Salut"8
"Bila Nak Saksi"241
2008"Anti Graviti"
2010"Kita Satu"84Kitasatu
2011"Bukan Salah Aku"20
"Tapi Bagaimana"111

Filemografi

Filem

TahunTajukWatakPengarah
2003Lauk Ku Cukup MasinDiri mereka sendiri
2004GosokDiri mereka sendiri
Bintang Hati

Anugerah dan pencalonan

TahunAnugerahKategoriPenerima/Karya tercalonKeputusan
2002Anugerah Era 2002Lagu Rock Pilihan"Aladin"Menang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002Artis Berkumpulan PopularSpiderMenang
Muzik Muzik 2002Pop Rock"Aladin"Tercalon
2003Anugerah Industri Muzik ke-10Album Pop Rock TerbaikAladinMenang
Anugerah Era 2003Band PilihanSpiderTercalon
Lagu Rock Pilihan"Kau Saja"Tercalon
2004Anugerah Era 2004Band PilihanSpiderMenang
Lagu Rock Pilihan"Relaku Pujuk"Menang
Anugerah Juara Lagu 2004Juara Kategori Pop Rock"Relaku Pujuk"Menang
Juara KeseluruhanMenang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004Artis Duo/Kumpulan PopularSpiderMenang
2005Anugerah Industri Muzik ke-12Album Pop Rock TerbaikNazrakuMenang
Album TerbaikMenang
Anugerah Planet Muzik 2005Kumpulan Paling PopularSpiderTercalon

Rujukan

Pautan luar