Sekolah Kluster Kecemerlangan turut dikenali dengan nama Sekolah Kluster dan Cluster School of Excellence merupakan sekolah yang bertaraf tinggi antara sekolah-sekolah lain di Malaysia. Sekolah Kluster Kecemerlangan ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Kewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang berada di luar kluster kecemerlangan.
Idea penganugerahan status Sekolah Kluster Kecemerlangan terkandung dalam Bab 9, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Kewujudan Sekolah Kluster Kecemerlangan berdasarkan pendekatan kedua PIPP, iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.
Sorotan kajian menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar negara untuk tujuan peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.
Sehingga Julai 2014, sebanyak 291 buah sekolah telah diisytiharkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan sejak 30 Mac 2007.
Jawatankuasa Pelaksana dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Pelaksanaan sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan pemegang taruh seperti PIBG, alumni, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.
Kriteria pemilihan
Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:
Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) , Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
Sekolah Pendidikan Khas, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta.
Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:
Prasyarat
Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).
Bagi Sekolah Menengah, Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 3 tahun berturut-turut:
SBP: GPS 2.50 dan ke bawah
SMKA: GPS 3.00 dan ke bawah
SMT: GPS 4.00 dan ke bawah
SM Harian: GPS 4.00 dan ke bawah
Bagi sekolah Rendah,
80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR);
Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan, atau
GPS UPSR ialah 2.00 dan ke bawah dalam tempoh 3 tahun kebelakangan, berturut-turut.
Syarat pemilihan
Kecemerlangan murid dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah.
Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
Keberkesanan pelaksanaan program Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Sekolah berperwatakan.
Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilihan adalah seperti berikut:
Penerimaan pencalonan;
Penilaian menggunakan instrumen SKPM dan Annex;
Penentuan standard (standard fixing) oleh Jawatankuasa Pelaksana Sekolah Kluster;
Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional;
Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat; dan
Pengumuman oleh Menteri Pelajaran.
Pengurusan Sekolah
Pimpinan
Pemimpin sekolah kluster ialah:
Pengetua gred DG 52 atau Guru Besar gred DG 36;
Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang; dan
Jawatan Pengetua/Guru Besar adalah jawatan berasaskan sekolah.
Guru
Guru-guru sekolah kluster pula:
Memenuhi kriteria Guru Cemerlang
Prestasi mereka akan menentukan kedudukan mereka di Sekolah Kluster.
Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut bidang kebitaraan sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan; dan
Nisbah kelas dengan guru ialah 1:2 (Sebuah kelas bersamaan dengan 2 orang guru).
Pemilihan Pelajar
Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster:
Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
Ujian saringan sekolah
Akauntabiliti
Akauntabiliti Pemimpin Sekolah berpandukan:
Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
Pengurusan sumber manusia dan fizikal
Sumber kewangan
Pembangunan profesionalisme staf
Program kurikulum dan kokurikulum efektif
Lulusan sekolah berkualiti - pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah
Terma rujukan (TOR) Sekolah Kluster
Autonomi
Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah ialah:
Bentuk Umum, untuk semua sekolah; dan
Bentuk Khusus, mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan bidang kebitaraannya.
Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada pematuhan piawai yang berikut:
Akta Pendidikan 1996;
Sistem Pendidikan Kebangsaan;
Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan, Garis Panduan dan Surat-surat Siaran; serta
SKPM.
Senarai Bidang Autonomi:
Pengurusan Sekolah
Pengurusan Sumber Manusia
Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum
Jaminan kualiti
Bagi memastikan sekolah kluster sentiasa mempertingkatkan standard kualiti, jaminan kualiti di sekolah kluster akan menggunakan mekanisme kawalan luaran dan kawalan dalaman.
Peranan agensi lain
Sekolah Kluster akan memperluas peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG, Lembaga Pengelola, Alumni dan NGO dalam aspek:
Biasiswa
Kewangan/Dana
Program Kecemerlangan Akademik
Program Kecemerlangan Kokurikulum
Program Kerjaya
Impak
Sekolah kluster akan memberi impak yang positif kepada pendidikan negara dari segi:
Program Kecemerlangan Kokurikulum
Program Kerjaya
Pelajar sekolah cemerlang secara keseluruhan (holistic) dalam sistem: 5.8% daripada 5.2 juta pelajar
Lepasan sekolah kluster diterima masuk universiti ternama luar negara
Badan korporat dan agensi kerajaan berkeyakinan menaja pengajian lepasan sekolah kluster
Menyediakan asas kukuh melahirkan peneraju utama agen perubahan
Sebanyak 300 buah sekolah diiktiraf antarabangsa (3.1% daripada 9663 sekolah)
Model piawaian kepada sekolah dalam dan luar negara
Pemimpin berkualiti (3.1% daripada 9663 sekolah) dan guru yang cemerlang (6.9% daripada 350,000 guru)
Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan di Malaysia.