Schnauzer kerdil

baka anjing dari Jerman

Schnauzer kerdil,[a] schnauzer katik,[b] atau schnauzer kecil[c] ialah satu baka anjing kecil daripada jenis schnauzer yang berasal dari Jerman pada pertengahan hingga lewat abad ke-19. Schnauzer kerdil mungkin telah dikembangkan daripada spesimen-spesimen terkecil schnauzer sederhana,[3][4] atau silangan antara schnauzer sederhana dengan baka lebih kecil seperti pincer monyet, pincer kerdil, dan pudel,[5][6][7][8] kerana para peladang membiakbakakan anjing kecil yang merupakan anjing pemburu tikus cekap. Ia diperihalkan sebagai anjing "galak"[1] namun suka menyendiri, dengan kecenderungan penjagaan baik tanpa pembawaan sesetengah anjing pengawal untuk menggigit. Schnauzer kerdil diiktiraf dengan empat warna di peringkat antarabangsa: hitam legam, hitam dan perak, lada dan garam, dan putih.[9]

Schnauzer kerdil
Gaya klasik schnauzer kerdil. Anjing ini memiliki telinga semula jadi dan ekor utuh.
Nama lainSchnauzer katik
Schnauzer kecil
Negara asalJerman
Trait
BeratJantan11–20 lb (5.0–9.1 kg)[1]
Betina11–20 lb (5.0–9.1 kg)[1]
TinggiJantan12–14 in (30–36 cm)[1][2]
Betina11–13 in (28–33 cm)[1][2]
BuluKasar dan mirip dawai apabila dicabut dengan tangan, lembut, dan keriting apabila dikerat
WarnaHitam, lada dan garam, hitam dan perak
Saiz perinduk3 hingga 8 ekor anak anjing
Jangka hayat12 hingga 15 tahun[1][2]
Anjing (Canis lupus familiaris)

Ia merupakan baka schnauzer paling popular[7] dan kekal sebagai salah satu baka anjing paling popular di seluruh dunia, terutamanya kerana perangainya dan saiz agak kecilnya. Setakat tahun 2022, ia merupakan baka ke-17 paling popular di Amerika Syarikat.[10]

Sejarah

Catatan terawal bersangkutan dengan pengembangan schnauzer sederhana di Jerman berasal dari lewat abad ke-19. Ia pada asalnya dibiakbakakan untuk menjadi anjing ladang bersaiz sederhana di Jerman, sama-sama sesuai untuk pemburuan tikus, penggembalaan, dan penjagaan harta benda.[1] Semakin masa berlalu, pledang membiakbakakan schnauzer piawai menjadi bersaiz lebih kecil dan lebih padat untuk pemburuan tikus dengan menggabungkannya, menurut teori ahli kinologi, dengan satu atau lebih baka kecil seperti pincer monyet dan pudel kerdil,[5][1][11][12] pincer kerdil,[7][8] atau anjing Pomerania,[13] atau secara kebetulan daripada spesimen-spesimen terkecil schnauzer sederhana.[3][4] Schnauzer kerdil tercatat pertama muncul pada tahun 1888,[5] betina hitam bernama Findel,[13] dan Pinscher-Schnauzer Klub (yang dibentuk pada tahun 1895) dalam jilid pertama buku pembaka kelab itu menyebut pincer kerdil berbulu dawai.[13] Pameran pertama diadakan pada tahun 1899.[11][14]

American Kennel Club menerima pendaftaran baka baharu itu pada tahun 1926, dua tahun selepas schnauzer katik diperkenalkan ke Amerika Syarikat.[6][14] American Miniature Schnauzer Club ditubuhkan pada tahun 1933, daripada kelab induk lebih tua Wire-Haired Pinscher Club of America yang juga menyertakan schnauzer piawai[7] dan pada mulanya kedua-duanya bertanding dalam Kumpulan Pekerja sehingga tahun 1927.[13] Pengelasan kelab kenel antarabangsa berbeza-beza; oleh Verband für das Deutsche Hundewesen and Persekutuan Kinologi Antarabangsa, ia diletakkan dalam "Kumpulan 2, Seksyen 1: Pinschers dan Schnauzers", dengan "No. 183" dalam "Seksyen 1.2" yang dikhususkan untuk baka schnauzer kerdil,[15] The Kennel Club, Australian National Kennel Council, dan New Zealand Kennel Club menyertakannya dalam Kumpulan Utiliti, manakala oleh American Kennel Club, United Kennel Club, dan Canadian Kennel Club, schnauzer katik dikelaskan dalam Kumpulan Terier.[14][16]

Permulaan schnauzer katik moden di Amerika Syarikat dianggap mempunyai permulaan pada tahun 1924 apabila empat ekor anjing diimport dari Jerman. Ada hujah bahawa hampir semua schnauzer katik yang dibiakbakakan di Amerika sebahagiannya diturunkan daripada anjing-anjing itu, dan pada antara tahun 1926 dengan tahun 1936, lagi 108 ekor anjing diimport. Salah seekor juara paling terkenal ialah Ch. Dorem Display[17] yang lahir pada tahun 1945 dan hidup sehingga usia hampir empat belas tahun.[7] Banyak juara schnauzer katik di Amerika didakwa dapat mengesan keturunan kembali kepada Dorem Display.[7][17]

Schnauzer katik ialah baka ke-11 paling popular di Amerika Syarikat pada tahun 2008, kemudian jatuh ke tempat ke-17 paling popular pada tahun 2016.[18]

Penampilan

Schnauzer kerdil dewasa hitam legam dengan telinga dan ekor utuh
Schnazer kerdil dewasa lada dan garam dengan telinga dan ekor utuh

Schnauzer kerdil mempunyai tubuh sangat berbentuk segi empat sama yang berukuran setinggi 11–14 inci (28–36 cm) dan seberat 10–15 paun (4.5–6.8 kg) untuk betina dan seberat 11–18 paun (5.0–8.2 kg) untuk jantan.[1] Ia mempunyai lapis bulu ganda dengan bulu luaran mirip dawai dan lapis bulu bawah lembut. Dalam gaya pangkasan pertunjukan, lapis bulu dikekalkan pendek pada tubuh, tetapi bulu pada telinga, tungkai, perut, dan muka dikekalkan.[19] Warna bulu yang diiktiraf merupakan hitam, lada dan garam, hitam dan perak, dan putih metah;[20] pewarnaan lada dan garam melibatkan kehadiran belang cahaya warna hitam, kelabu, dan perak pada helaian bulunya yang memudar menjadi kelabu atau perak pada kening, misai, bawah tubuh, dan tungkai.[21]

Schnauzer kerdil kerap diperihalkan sebagai anjing tanpa salin bulu dan, walaupun ini tidak sepenuhnya benar, ganti bulunya adalah minimum dan pada umumnya tidak ketara. Atas sebab ini, schnauzer dianggap sebagai baka hipoalergenik.[22] Ia bercirikan kepala segi empat tepat dengan janggut lebat, misai, dan kening; gigi yang bertemu dalam "gigitan gunting"; mata bujur dan berwarna gelap; dan telinga semula jadi berbentuk v, terlipat ke hadapan (apabila terpotong, telinga menghala lurus ke atas dan tiba di hujung tajam). Ekornya secara semula jadi nipis dan pendek dan mungkin terpotong (jika diizinkan). Ia juga mempunyai tungkai hadapan sangat lurus dan tegar dan kaki yang pendek dan bulat (yang dipanggil "kaki kucing") dengan tapak tebal dan hitam.[6][23]

Pemotongan ekor dan telinga telah menjadi amalan kontroversi, terutamanya untuk anjing bukan pekerja dan kini haram atau terbatas di sebilangan negara di seluruh dunia, termasuk United Kingdom dan Australia.[24]

Penjagaan bulu

Schnauzer mempunyai potongan dandanan spesifik yang piawai sesama baka schnauzer. Schnauzer memerlukan pendandanan nalar, sama ada dengan pelucutan atau pemangkasan. Pelucutan menanggalkan lapis bulu longgar dan mati; pelucutan dapat dilakukan dengan tangan, yang dipanggil pelucutan jari, atau pencabutan, atau dengan pisau pelucutan; bagaimana sekalipun, ini merupakan proses banyak kerja. Apabila dibela sebagai anjing peliharaan, schnauzer kerdil kerap didandan dengan berbeza (biasanya melalui pemangkasan) daripada anjing pertunjukan (kerap menggunakan pelucutan). Dandanan nalar bagi schnauzer kerdil disyorkan hampir-hampir setiap enam minggu.[25] Pemangkasan, dengan menggunakan gunting mekanikal (atau pencukur), menghasilkan potongan lembut, bak sutera, dan rapat dengan kulit. Sama ada dilucutkan atau dipangkas, lapis bulunya rapat dengan tubuh, dan menurun ke dasar mirip rumbai pada bahagian bawahnya yang dapat dibiarkan tumbuh, tetapi mesti disikat dengan kerap. Semua schnauzer, sama ada kerdil, sederhana, atau gergasi, kerap memiliki janggut, yang terlhasil dengan membiarkan bulu di sekeliling hidung tumbuh memanjang. Jika dibiarkan tidak terpangkasa atau terlucut, bulu tubuhnya tumbuh sampai dua hingga empat inci dan kerap kusut menjadi kusutan dan keriting.[19]

Kontroversi lapis bulu putih Amerika Utara

Seekor schnauzer kerdil putih dengan telinga dan ekor terpotong

Putih ialah salah satu daripada empat keragaman warna bagi schnauzer kerdil yang buat masa ini diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Walau bagaimanapun, warna ini tidak diterima untuk pertunjukan pengakuran oleh American Kennel Club dan Canadian Kennel Club. Kontroversi bersangkut pada asal usul variasi putih yang dipertikaikan, iaitu sama ada warna ini terkandung di dalam gen pada baka diiktiraf yang pada asalnya, atau sama ada warna ini merupakan hasil daripada pengubahsuaian berikutnya. Memandangkan selebih dua jenis schnauzer tidak pernah terdapat dalam variasi putih dan piawaian Jerman asli tidak pernah menyertakan putih sebagai warna yang boleh diterima, American Miniature Schnauzer Club memilih untuk tidak mengiktiraf putih.[26]

Perangai

A Miniature Schnauzer with docked ears and cropped tail

Piawaian baka American Kennel Club memerihalkan perangai "berwaspada dan bersemangat, namun patuh kepada perintah ... ramah, cerdas, dan bersedia untuk menggembirakan... tidak pernah terlebih agresif atau takut".[6] Biasanya mudah dilatih, ia cenderung untuk menjadi anjing pengawal cemerlang dengan naluri kewilayahan baik, tetapi lebih cenderung untuk menyalak berbanding dengan menggigit. Ia kerap menjauhi orang asing sehingga tuan rumah mengalu-alukan tetamu, kemudian ia biasanya sangat mesra dengan tetamu berkenaan.[27] Walaupun schnauzer katik termasuk dalam Kumpulan Terier di Amerika Utara (oleh sebab latar belakang dalam penangkapan tikus), ia tidak mempunyai keleluhuran bersama dengan terier dari Great Britain,[6][13] dan, berbanding dengan terier itu, mempunyai keperibadian berbeza, iaitu keperibadian lebih santai, patuh, ramah, dan kurang agresif terhadap anjing lain.[7]

Schnauzer katik dapat bertanding dalam ujian ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, dan penjejakan. Schnauzer mempunyai dorongan pemangsa tinggi yang bermaksud bahawa ia mungkin mengejar haiwan kecil lain dan, oleh itu, tidak patut terlepas tanpa cawak apabila bukan di dalam kawasan berpagar.[6] Stanley Coren menilai schnauzer katik sebagai yang ke-12 daripada 140 baka dalam buku beliau The Intelligence of Dogs (2006). Coren mengelompokkan baka ini sesama "anjing pekerja cemerlang". Tambahan pula, pakar yang dihubungi oleh Coren meletakkan schnauzer katik sebagai baka kelima antara 15 baka teratas dalam keupayaan salakan anjing pengawal.[28]

Kesihatan

Sebuah kajian United Kingdom mendapati jangka hayat sebanyak 13.3 tahun untuk baka ini, angka yang lebih tinggi daripada purata 12 tahun untuk baka silang.[29] Sebuah kajian di Jepun untuk data perkuburan haiwan peliharaan mendapati jangka hayat sebanyak 13.4 tahun, yang kurang darupada purata keseluruhan 13.7 tahun dan purata 15.3 tahun untuk baka silang yang lebih ringan daripada 10 kg.[30]

Sebuah kajian Jepun mendapati predisposisi ketara terhadap mukosele pundi hempedu untuk schnauzer katik dengan nisbah kemungkinan 5.23.[31]

Sebuah kajian Amerika Utara mendapati bahawa baka ini cenderung terhadap pirau portosistemik kongenital, dengan 1% daripada jumlah schnauzer katik yang menghidap keadaan ini berbanding dengan 0.05% untuk anjing baka kacuk.[32]

Schnauzer katik juga terdedah kepada penyakit von Willebrand (vWD). vWD pada anjing ialah kecelaruan perdarahan terwaris yang berlaku oleh sebab kekurangan kualitatif atau kuantitatif bagi faktor von Willebrand (vWF), iaitu protein multimerik yang diperlukan untuk lekatan platelet.[33]

Baka ini cenderung terhadap dermatitis atopi.[34]

Sindrom komedo schnauzer ialah sejenis kecacatan pengkeratinan folikel yang terdapat secara eksklusif pada schnauzer kerdil yang serupa dengan nevus komedonikus pada manusia.[35] Keadaan ini bercirikan komedon-komedon kecil yang membentuk pada spina dorsal (belakang) anjing berkenaan.[36] Keadaan ini dipercayai disebabkan oleh kecacatan perkembangan terwaris pada folikel bulu, yang menyebabkan pengkeratinan abnormal dan akhirnya pembentukan komedo, pempalaman folikel, dan folikulitis bakteria sekunder yang membawa kepada alopesia dan kerakan.[35]

Lihat juga

Catatan

Rujukan

Pautan luar