Salim Bachik

Salim Bachik (1936 – 8 Februari 1977) merupakan seorang pelakon televisyen, filem dan radio Malaysia dan merupakan ayah dari pelakon dan pelawak Malaysia, Harun Salim Bachik.[1][2]

Salim Bachik
Salimbachik.png
Salim Bachik pada 1960an
Kelahiran1936 (1936)
Meninggal dunia8 Februari 1977(1977-02-08) (umur 40–41)
Sebab kematianSerangan Jantung
PekerjaanJuruhebah radio, pelakon
Tahun aktif1958–1977
PasanganHabsah binti Idris
Anak-anakHarun Salim Bachik

Kehidupan awal

Seniman Salim Bachik dilahirkan dalam keluarga seni di Alor Gajah, Melaka dalam tahun 1936. Allahyarham merupakan abang kepada juruhebah, dramatis dan penggubah lagu Ibrahim Bachik dan dramatis terkenal Singapura, Ponisah Bachik. Seniman Salim Bachik mula berhijrah ke Kota Singapura pada sekitar tahun 1955 berikutan diterima untuk memasuki perkhidmatan Angkatan Tentera British.

Sebelum terkenal sebagai pelakon drama pentas, Seniman Salim Bachik terlebih dahulu berjinak-jinak dalam bidang nyanyian dan lawak jenaka. Minat yang mendalam di dalam bidang seni membuatkan beliau sering mengambil bahagian dalam pertandingan bakat dan nyanyian yang sering diadakan di Singapura pada waktu itu.

Kerjaya

Seniman Salim Bachik mula aktif dalam bidang kesenian apabila menjadi anggota Pengakap Tanglin Tinggi, Singapura. Beliau adalah pelawak dan kemudian ikut menyanyi dalam kumpulan padu suara di bawah pimpinan Komposer Zubir Said. Jika Tan Sri P. Ramlee merupakan Seniman Agung di dalam lapangan perfileman, Seniman Salim Bachik pula dijuluki dengan gelar seniman ulung lapangan drama.

Nama Salim Bachik mula terkenal apabila beliau memegang peranan utama dalam drama pentas berjudul Awal Dan Mira anjuran Perkumpulan Sriwana di Panggung Victoria pada tahun 1958. Setelah itu, satu demi satu drama pentas dilakonkannya bersama Perkumpulan Sriwana. Pementasan drama yang diadakan di Panggung Victoria sering mendapat sambutan yang sangat baik dari para penggemar drama pentas. Pada tahun 1961, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Seksyen Drama dalam Perkumpulan Sriwana.

Seniman Salim Bachik seterusnya berkhidmat di Radio Malaysia Singapura Bahagian Melayu sebagai juruhebah. Antara rancangan kelolaan beliau ialah Nadi Puisi. Ketika di Radio Malaysia Singapura, beliau turut terlibat dalam drama-drama radio terbitan stesen radio tersebut. Beliau telah berlakon dalam lebih daripada 100 buah drama radio. Ruangan drama ini cukup popular di kalangan pendengar yang mengikuti siaran radio tersebut.

Nama Salim Bachik cukup terkenal sepanjang tahun 60an dan 70an. Beliau memiliki suara emas yang sering digunakan untuk iklan-iklan di radio, panggung wayang bahkan iklan televisyen. Apabila siaran televisyen di Radio Televisyen Singapura (RTS) mula beroperasi. Seniman Salim Bachik merupakan antara seniman terawal yang berlakon dalam drama tv bersama-sama Seniwati Rosnani Jamil dan Seniman Yusof Latiff.

Pada tahun 1962, Seniman Salim Bachik telah ditawarkan untuk bermain filem oleh pengarah Hussain Haniff melalui filem Korban Kaseh (1962). Melalui filem ini, beliau memegang dua peranan pembantu iaitu sebagai seorang doktor dan sebagai seorang bomoh.

Beliau turut mencipta fenomena ketika beraksi di dalam drama bersiri Pak Awang Temberang. Para penggemar drama bersiri tersebut lebih senang menggelarkan beliau dengan panggilan "Pak Awang". Bukan setakat itu, bahkan fesyen perabot yang digunakan di dalam drama itu turut dikenali sebagai "Kerusi Pak Awang". Drama terbitan TV Singapura yang berdurasi 45 minit ini mula bersiaran setiap malam Sabtu mulai 18 Mac 1966. Drama bersiri ini mempunyai 32 episod dan merupakan drama bersiri terpanjang yang pertama.

Seniman Salim Bachik memang terkenal sebagai seorang pelakon yang berkarektor. Watak yang diserahkan kepada beliau dapat dimainkan dengan cukup berkesan di hati para penonton. Penjiwaan ke atas watak yang diperankannya ditonjolkan dengan cukup sempurna dan penghayatan yang mendalam.

Beliau merupakan aktivis seni drama yang cukup sibuk semasa hayatnya. Selain daripada sibuk dengan tugasan di RTS, berlakon drama TV, Radio, dan Pentas, Seniman Salim Bachik masih bergerak aktif didalam Perkumpulan Sriwara. Beliau saban tahun akan menganjurkan bengkel lakonan drama kepada para belia dan penggemar melalui kumpulan seni tersebut.

Beliau turut memberikan bimbingan lakonan melalui Bengkel Drama Kelab Panggung Negara dan terlibat dalam mengasah bakat kanak-kanak melalui Bengkel Kanak-Kanak RTS. Selain itu, beliau turut dijemput berberapa kali ke Universiti Malaya untuk membuat ceramah berkaitan seni lakon. Beliau merupakan seorang penceramah yang baik dan dapat menarik perhatian para peserta ceramahnya.

Tugas sebagai juruhebah radio dan penceramah juga memungkinkan beliau untuk menjadi juru acara dalam persembahan pentas/kontes penyanyi-penyanyi tempatan seperti Ramlan Aziz, Rickino Bajuri, DJ Dave dan ramai lagi.

Pada bulan Oktober 1972, Seniman Salim Bachik telah melepaskan jawatannya di RTS dan kembali ke Malaysia untuk menjawat tugas sebagai pembantu siaran Radio Malaysia, RTM di Angkasapuri. Kerjaya seninya dalam lakonan drama pentas, radio dan televisyen diteruskan di Malaysia pula.[3]

Insiden

Sehinggakan beliau pernah tercedera kerana tertusuk serpihan kaca yang pecah di dalam satu adegan drama TV. Walaupun terluka, beliau tetap meneruskan babak tersebut sehingga selesai. Akibatnya beliau terpaksa dikejarkan ke hospital dan menerima beberapa jahitan. Satu lagi insiden melibatkan dramatis Maniseh Haji Siraj yang patah sebatang gigi akibat ditampar oleh Seniman Salim Bachik sewaktu latihan pementasan drama Ribut Pagi.

Kematian

Meninggal dunia

Pada jam 3.00 pagi pada 8 Februari 1977, Seniman hebat bersuara emas in telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dirumahnya di Petaling Jaya, Selangor dipercayai akibat serangan jantung. Allahyarham meninggal dunia di usia 41 tahun. Pemergian Allahyarham amat mengejutkan semua pihak. Tugasan terakhir beliau di RTM ialah sebagai penerbit Berita Perdana di Radio Malaysia yang ke udara setiap hari jam 7.00 malam.[4]

Berikutan kematiannya secara mendadak itu, drama radio Nombor Lima Persiaran Satu lakonan beliau yang sepatutnya dikeudarakan pada jam 9.30 pagi pada 8 Februari 1977 terpaksa dibatalkan. Drama tersebut telah dirakamkan sebanyak 5 episod sebelum kematian Allahyarham. Manakala filem Menanti Hari Esok merupakan filem terakhir lakonannya dan masih belum sempat diputarkan di pawagam.[5]

Suara emas dan lakonan-lakonannya akan dirindui oleh para pendengar radio dan para peminat dramanya.[6]

Persembahan

Sebagai mengenang jasa Allahyarham, pelbagai badan seni dan artis-artis dari Malaysia dan Singapura telah mengadakan persembahan dan konser amal bagi mengutip derma untuk balu dan 8 anak Allahyarham yang berumur antara 18 tahun sehingga 9 bulan. Malah Biduanita Negara, Sharifah Aini dan Penyanyi Fatimah Razak tidak mengambil sebarang bayaran untuk persembahan amal yang disertai mereka.[7][8][9]

Malah bagi mengenang jasa dan ketokohan beliau dalam bidang drama pentas, Perkumpulan Sriwara yang disertainya dahulu telah mewujukan satu piala pusingan yang diberi nama Oskar Salim Bachik untuk Anugerah Drama Moden Terbaik didalam pertandingan drama pentas tahunan anjuran perkumpulan tersebut.[10]

Anugerah

Pencapaian terbaik beliau ialah dianugerahkan gelar Pelakon Lelaki Terbaik TV tahun 1975/1976 di acara Anugerah Seri Angkasa yang diadakan pada 26 Mac 1977 anjuran RTM. Beliau memenangi anugerah tersebut melalui lakonan cemerlangnya di dalam drama Pulang. Namun begitu, beliau tidak dapat mengambil anugerah tersebut kerana telah terlebih dahulu dijemput illahi sebulan sebelum acara itu berlangsung.

Filemografi

Drama pentas

TahunTajukCatatan
1958Awal Dan MiraDrama pentas pertama
1961 & 1968Ribut Pagi
1960anKeris Sempena Riau
Seniman Kenchil
Lela Satria
Sayang Ada Orang Lain
Sangkar Madu
1963Mega Mendong
1964Atap Genting Atap Rembia
1965Saksi
Wasiat
Ala Mak Kahwinkan Aku
1966Gelisah
Mendong
1970Nyai Dasima
1971Malam Jahanam
Dr SamsiDrama pentas terakhir

Drama radio

TahunTajukCatatan
1968Puntong Yang Ingin MenyalaDrama radio pertama
1969Menitek Hujan Ka-Tanah Juga
1971Hari ini Hari Esok
1972Tak Kenal Maka Tak Chinta
Jangan Ditanya
Hujan Panas
1977Nombor LimaDrama radio terakhir

Drama televisyen

TahunTajukWatakCatatan
1960anWak Leman Berandi
Satria 200 Purnama
1964DamakDrama pertama
Rangkaian Melati
1965Chorak Dunia
Malam
Papan Berhala
Time Bom
1966Pak Awang Temberang
1967Wak Agos
1969Sa-Bau Tak Sa-Tangkai
1970anTiada Tangis Mengiringi Perpisahan
Menara Gading Punchak Mahligai
Kemarau Di Hujong Daun
Jalak
1970Mendong Cherah
Siapa Salah
1971Sa-Hidup Sa-Mati
1972Di-mana Kan Ku Cari Ganti
1974Bagai Roda Pedati
1977Langkah Si TemberangDrama terakhir

Filem

TahunTajukWatakCatatan
1962Korban KasihFilem pertama
1963Bayangan Diwaktu Fajar
1966Gerak KilatEddie
1967Dosa Wanita
1968Kekasih
1969Nafsu Belia
1970Little Jungle Boy
1975Setitik Embun
1977Menanti Hari EsokEncik HarunFilem terakhir

Rujukan

Pautan luar