Raja Syed Alwi Jamalullail

Raja Perlis

Raja Syed Alwi ibni Raja Syed Safi Jamalullail (Jawi: راج سيد علوي ابن راج سيد صافي جمال اليل) atau Raja Syed Alwi Jamalullail adalah Raja Perlis yang keempat. Baginda memegang takhta kerajaan Perlis dari tahun 1904 hingga 1943. Baginda merupakan anakanda kepada raja sebelumnya, Raja Syed Safi Jamalullail.[1]

Raja Syed Alwi Jamalullail
Raja Perlis keempat
Raja Perlis
Pemerintahan30 Disember 1904 - 2 Februari 1943
Didahului olehRaja Syed Safi Jamalullail
Diikuti olehRaja Syed Hamzah Jamalullail
Keputeraan(1881-11-13)13 November 1881
Istana Arau, Arau, Perlis
Kemangkatan2 Februari 1943(1943-02-02) (umur 61)
Istana Arau, Arau, Perlis, Malaya Jepun
PasanganSharifah Chut Syed Salim
Che' Udoh Ibrahim
Che' Fatimah Yasin
Nama penuh
Syed Alwi ibni Syed Safi Jamalullail
KerabatWangsa Jamalullail
AyahandaRaja Syed Safi Jamalullail
BondaChe Wan Sa’adiah @ Michu
AgamaIslam

Kehidupan

Raja Syed Alwi dilahirkan pada 12 Jamadilawal 1298 bersamaan dengan 11 April 1881 di Istana Arau, Perlis. Baginda merupakan putera kepada Raja Syed Safi Jamalullail dan Che Wan Sa'adiah. Bonda baginda merupakan ahli keluarga Perdana Menteri kerajaan Siam, Kalahum dan asalnya bernama Michu. Baginda mendapat pendidikan di St. Xavier Institution, Pulau Pinang.[2]

Baginda juga telah berkahwin dengan Sharifah Chut Syed Salim, Che' Udoh Ibrahim dan Che' Fatimah Yasin. Namun baginda tidak dikurniakan sebarang zuriat.[2]

Pemerintahan

Setelah kemangkatan Raja Syed Safi pada 30 Disember 1904, Raja Syed Alwi telah berangkat ke Bangkok bersama adindanya Syed Mahmud, Syed Salim al-Jafri, Datuk Wan Teh Datuk Belat dan Abdullah Cik Saad bagi memaklumkan kepada Raja Siam tentang berita kemangkatan Raja Syed Safi. Mereka telah ditempatkan di sebuah istana di Ban Kuang. Seterusnya Raja Syed Alwi telah ditabalkan sebagai Raja Perlis keempat oleh Raja Chulalongkorn dengan gelaran "Phya Songkhram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Pelit". Adinda baginda, Syed Mahmud pula telah ditabal sebagai Raja Muda.[2]

Semasa awal pentadbirannya, baginda mengekalkan perkhidmatan para pembesar lantikan ayahandanya. Perlis juga telah mengalami masalah kemerosotan sumber kewangan sehingga baginda memutuskan untuk meminjam sejumlah wang berjumlah 230,000.00 ringgit daripada Siam melalui satu perjanjian iaitu Perjanjian Hutang Perlis-Siam yang dimeterai pada 4 Oktober 1905. Antara syarat perjanjian ini ialah Kerajaan Perlis mesti menerima seorang Penasihat Kewangan untuk ditempatkan di Perlis. Seorang pegawai British bernama A.H. Duke telah dihantar oleh Siam sebagai Penasihat Kewangan kepada Kerajaan Perlis. Perjanjian Hutang Perlis-Siam Kedua juga telah dimeterai pada 25 Februari 1907 kerana krisis kewangan Perlis yang masih belum selesai.[1]

Baginda juga telah menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis yang diketuai baginda sendiri. Penasihat Kewangan British bertindak sebagai Setiausaha Majlis. Beberapa orang pembesar negeri turut dilantik menganggotainya. Mesyuarat kali pertama telah diadakan pada 18 November 1905.[1]

Pendudukan British di Perlis

Pada 10 Mac 1909, Perjanjian Bangkok telah ditandatangani antara British dengan Siam. Melalui perjanjian ini, Perlis bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan oleh Siam kepada British. Semenjak itu, Perlis mula dinaungi secara tidak rasmi oleh British dan tidak lagi berada di bawah naungan Siam. Perjanjian ini telah memberi kuasa kepada British untuk menghantar pegawai penasihat untuk menasihati Raja Syed Alwi dalam semua urusan kecuali berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. [1]

Segala baki hutang yang belum dilunaskan Perlis kepada Siam juga telah ditanggung oleh kerajaan Negeri Melayu Bersekutu. Namun, kerajaan Perlis diarahkan untuk membayar balik hutang yang ditampung oleh Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu secara ansuran sehingga selesai pada tahun 1929. Setelah selesai urusan pembayaran hutang, Kerajaan British bersetuju untuk menaungi Perlis secara rasmi. Justeru pada 28 April 1930, Perjanjian Perlis-British telah ditandatangani bagi menzahirkan tujuan ini.[1]

Semasa pemerintahan baginda juga garis sempadan Perlis telah dimuktamadkan. Setelah penyelarasan sempadan Perlis dengan Setul, Perlis telah kehilangan wilayah Puju yang telah diserap ke dalam wilayah Satun, Thailand. Sempadan antara Perlis dan Kedah juga telah dimuktamadkan dengan kerja-kerja pengukuran sempadan pada tahun 1913.[1]

Pendudukan British di Perlis juga menandakan Raja Syed Alwi sebagai raja terakhir yang mempersembahkan ufti bunga emas kepada Siam dan satu-satunya Raja Perlis yang mempersembahkan ufti bunga emas kepada Raja England. Beberapa pingat kebesaran juga telah dianugerahkan oleh Kerajaan British kepada baginda.[1]

Pembangunan dan pemodenan

Baginda telah menambahkan usaha permodenan pentadbiran Perlis dengan menubuh dan menaik taraf Agensi Kerajaan Negeri seperti Pejabat Raja dan Penasihat, Pejabat Audit, Pejabat Hasil dan Cukai,  Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, Mahkamah Kadi, Balai Polis, Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran, Penjara dan lain-lain. Baginda juga telah memulakan kerja penurapan Jalan Kangar-Arau dan Jalan Kangar-Tasoh serta perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Perlis dengan Siam dan negeri lain pada tahun 1916. Bekalan air paip juga mula digiatkan di sekitar Kangar. Pemerintahan baginda juga telah berjaya membina Masjid Alwi sebagai mercu tanda Perlis.[1]

Masalah perwarisan takhta

Raja Syed Alwi tidak memiliki sebarang zuriat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis telah bersidang pada 6 Disember 1934 dan bersetuju mengangkat anakanda saudara baginda iaitu Syed Hassan ibni Syed Mahmud sebagai pewaris takhta Perlis. Namun, Syed Hassan mangkat pada 18 Ogos 1935, menjadikan Perlis ketiadaan pewaris takhta. Majlis telah bersidang semula pada 30 April 1938 dan bersetuju untuk mengangkat anakanda Syed Hassan iaitu Syed Putra sebagai pewaris takhta yang baharu.[1]

Pada 12 Disember 1941, tentera Jepun telah memasuki Perlis diketuai oleh Kapten E. Hirota. Memandangkan ketika itu Raja Syed Alwi Jamalullail berada di luar Perlis, Kapten E. Hirota telah mengarahkan Syed Hamzah menubuhkan dan mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang dinaungi oleh Kerajaan Tentera Jepun. Apabila Raja Syed Alwi berangkat pulang ke Perlis, baginda mengambil kembali jawatan Presiden Majlis manakala Syed Hamzah pula dilantik sebagai Naib Presiden Majlis. Dengan sokongan Jepun, kedudukan Syed Putra sebagai pewaris takhta telah dilucutkan pada 11 Januari 1942. Serentak dengan itu, Syed Hamzah diisytiharkan sebagai pewaris takhta yang baharu.

Raja Syed Alwi telah mangkat pada 2 Februari 1943 semasa Perang Dunia Kedua. Adinda seayahanda baginda iaitu Raja Syed Hamzah pula diangkat menjadi Raja Perlis oleh pihak berkuasa Jepun.[1]

Rujukan

Didahului oleh
Raja Syed Safi Jamalullail
Raja Perlis IV
30 Disember 1904 – 2 Februari 1943
Diikuti oleh:
Raja Syed Hamzah Jamalullail