Kelapa

(Dilencongkan dari Pokok Kelapa)

Kelapa (Jawi: کلاڤ), nyiur, nyior, kerambil atau kerambir (nama botani: Cocos nucifera)[2] ialah satu-satunya spesies tumbuhan palma yang wujud dalam genus Cocos[1] keluarga Arecaceae. Pokok ini bertaburan luas di semua kawasan tropika Bumi.

Kelapa
Nyiur
Gambar rajah pokok kelapa.
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Genus:
Cocos

(L.)
Spesies:
C. nucifera
Nama binomial
Cocos nucifera
L.
Peta taburan asal Cocos nucifera
sebelum disebarkan
Sinonim[1]
  • Coccus Mill.
  • Calappa Steck
  • Coccos Gaertn.

Tumbuhan ini amat dimanfaatkan banyak masyarakat yang menggunakan hampir semua bahagian pokok untuk pelbagai tujuan, tidak sahaja buah tetapi juga daun dan batangnya, sehingga ia sering mendapat gelaran "pokok seribu guna".

Peristilahan

Perkataan nyiur dan nyior (dua-dua dalam Jawi: ڽيور) diturunkan daripada akar Melayu-Polinesia *niuʀ.[3][4] Bentuk bahasa Melayu Kunonya ñīyur antara salah satu dari empat jenis pokok palma yang disebut-sebutkan dalam Batu Bersurat Talang Tuo dari tahun 684 M.[5]:39

Perkataan kerambil (Jawi: کرمبيل) dan kerambir (Jawi: کرمبير) digunakan di Tanah Tinggi Minangkabau di Sumatera Barat.[6]

Taksonomi

Carl Linnaeus menamakan genus Cocos terus daripada perkataan bahasa Portugis coco.[7] Perkataan coco dijejak kepada penjelajah-penjelajah Portugis dan Sepanyol yang melihat tempurung buah kelapa ada tiga lubang yang menyerupai bahagian muka,[8][9][10][11] muka ini mengingatkan mereka kepada sejenis raksasa seperti hantu dalam cerita rakyat mereka dipanggil coco atau côca.[11][12]

Asal

Kajian genetik moden yang terbaharu menempatkan tempat asal kelapa atau nyiur di kawasan tropika bertemunya barat Lautan Pasifik/Teduh dan timur Lautan Hindi antara kepulauan Nusantara di Asia Tenggara dan Melanesia, di mana spesies-spesies pokok ini menunjukkan banyak kepelbagaian ciri genetik dalaman.[13][14][15][16] Titik tumpu ini turut diselidik daripada hubung kait taburan spesies-spesies ketam kelapa dan serangga yang bergantung kepada tumbuhan ini, di mana kawasan kepulauan Asia Tenggara dikira mempunyai 90% kepadatan berbanding yang ada di benua-benua Amerika dan Afrika yang masing-masing mempunyai kepadatan sebanyak 20% dan 4%.[17]

Orang-orang Austronesia menyebarkan tumbuhan ini dalam pelayaran perahu-perahu mereka menuju sejauh pulau-pulau Pasifik.[15][16][18][19] Perkara ini turut tercermin pada istilah yang digunakan bahasa-bahasa setempat; perkataan nyiur dalam bahasa Melayu sepunca turunan-turunan lain akar Austronesia termasuklah:[3][20][21][22][23][4][24]

Rekod fosil di New Zealand menunjukkan pokok kecil seperti kelapa tumbuh di situ semenjak 15 juta tahun dahulu. Fosil yang lebih tua telah dijumpai di Rajasthan, India. Walau dari manapun asal pokok kelapa, ia telah tersebar disebahagian besar kawasan tropika, terutamanya sepanjang persisiran pantai. Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut yang mampu membawa buah kelapa pada jarak yang jauh. Pokok kelapa hidup subur di tanah berpasir, paya dengan banyak cahaya matahari dan hujan yang tetap (75-100 sm setahun), yang menjadikan koloni di pantai agak mudah. Buah yang dikumpulkan dari laut jauh ke utara seperti Norway telah di dapati masih utuh dan mampu tumbuh setelah diberikan keadaan yang sesuai. Bagaimanapun di Kepulauan Hawaii, pokok kelapa dianggap sebagai spesies yang diperkenalkan oleh pelayar-pelayar Polinesia dari kepulauan asal mereka di Pasifik Selatan.

Botani

Pokok

Pokok kelapa adalah tumbuhan saka yang besar, ia mampu tumbuh setinggi 30 meter. Pelepah daun pokok sepanjang 4-6 meter terdiri daripada dua baris anak daun setangkai,[2] setiap helai daun panjangnya 60-90 sm. Pelepah yang tua luruh meninggalkan batang pokok yang licin.[25]

Pokoknya boleh mencapai ketinggian 6 hingga 30 meter bergantung kepada variasi. Ia didapati di semua kawasan tropika.

Buah

Buah kelapa yang dibelah dua.

Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali sebagai drupa bergentian (bukannya "kacang"). Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut menutupi endokarpa keras disebutkan sebagai "tempurung".

Tempurung kelapa mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Apabila dilihat dari satu bahagian, tempurung dan liang percambahan kelihatan seperti muka monyet. Pucuk embrio benih kelapa yang bercambah akan keluar melalui salah satu liang ini.

Penanaman

Pokok kelapa di Johor Bahru, Johor, Malaysia.

Buah kelapa tua dibiarkan bercambah dan ditanam di tapak tetap dan turut ditanam pindah sebagai pokok hiasan dalam lanskap. Bagi kelapa yang tinggi ia selalunya lambat matang dan berbunga semasa usia 6-10 tahun. Kelapa tinggi boleh hidup sampai 100 tahun dan tahan lasak iaitu boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan dan jenis tanah.Bagi kelapa rendah, ia berbunga 3 tahun selepas ditanam dengan ketinggian tidak melebihi 1 meter. Kelapa rendah mungkin memberi hasil sehingga berusia 70 tahun.

Penyakit dan perosak

Pokoknya boleh dijangkiti penyakit yang disebabkan kulat, bakteria dan virus yang boleh menyebabkan paksi tengah pokok menjadi busuk, batang menjadi reput dan berdaun kuning. Kulat juga boleh membunuh pokok kelapa. Perosak yang paling besar adalah kumbang badak dan kumbang hitam. Buah kelapa dimakan tupai dan di sesetengah tempat buahnya dimakan ketam kelapa.

Varieti

Varieti-varieti kelapa yang terdapat di Malaysia ialah:-

  1. Kelapa Tinggi Malaya (Malayan Tall )
  2. Kelapa Rendah Merah Malaya (Malayan Red Dwarf, MRD)
  3. Kelapa Rendah Kuning Malaya (Malayan Yellow Dwarf, MYD)
  4. Kelapa Rendah Hijau Malaya (Malayan Green Dwarf, MGD)
  5. Kelapa MAWA (Malayan Dwarf X West Afrcan Tall)
  6. Kelapa MATAG (MYD/MRD X Tagnanan Tall)
  7. Kelapa Tinggi Afrika Barat
  8. Kelapa Tinggi Tagnanan
  9. Kelapa Tinggi Rennel
  10. Kelapa Wangi (Aromatic Dwarf)
  11. Kelapa MAREN (MYD.MRD X Rennel Tall)
  12. Kelapa MAMA (MYD/MRD X Malayan Tall)

Kegunaan

Kesemua bahagian pokok kelapa berguna kecuali kemungkinannya bahagian akar dan pokok kelapa mampu menghasilkan sehingga 75 biji kelapa setahun; dengan itu, ia mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Malah, nama pokok kelapa dalam bahasa Sanskrit adalah kalpa vriksha, yang diterjemahkan sebagai "pokok yang membekalkan semua keperluan kehidupan".

Buah

Air daripada buah kelapa boleh diminum dan isi kelapa yang lembut boleh dimakan mentah. Kelapa muda juga dikukus, direbus atau dipanggang sebelum airnya diminum dan isinya dimakan. Buah kelapa yang tua boleh dikukur atau diparut, isi buah yang diparut ini boleh diperah menjadi santan yang digunakan dalam pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih. Santan yang dimasak dalam tempoh yang mencukupi boleh dipecahkan menjadi minyak[2] yang tidak sahaja boleh digunakan untuk tujuan masakan malah juga sebagai bahan api pelita dan bahan mentah membuat barangan seperti sabun.

Sisa-sisa yang ditinggalkan dari pemerolehan isi buah ini juga tidak terbazir. Sabut kelapa tua boleh dibuat tali, tikar dan berus[2] mahupun sebagai alas penanaman tumbuhan tertentu seperti anggerik. Tempurung kelapa boleh diproses menjadi ubat nyamuk apabila dibakar dan barangan kraftangan. Serbut sabut boleh dibuat bahan reput dan kompos dalam pertanian.

Daun

Daun kelapa boleh dibuat pembalut makanan, urat daunnya yang keras boleh dijadikan lidi batang penyapu atau sate.[2]

Bunga

Tandan atau mayang bunga kelapa yang masih muda dipakai orang untuk hiasan dalam upacara perkahwinan dengan simbol tertentu. Bunga betina atau buah mudanya dapat dimakan. Malah, bahan mayang ini turut dipakai dalam pembuatan sejenis hidangan gudeg dalam kalangan orang Jawa disebut gudeg manggar.

Nektar manis yang keluar dari tangkai bunga pokok yang ditoreh yakni nira dapat diminum segar mahupun ditapaikan lanjut sebagai minuman keras iaitu tuak atau diproses menjadi gula.

Batang pokok

Batang kelapa boleh dibuat titi serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai. Pangkal pucuk batang pokok kelapa iaitu "umbut" boleh dimakan mentah atau dimasak seperti sayur atau dengan kari.[2]

Kepercayaan

Upacara-upacara sembahyang agama Hindu sering melibatkan penggunaan buah kelapa.[26] Salah satu betara disembah masyarakat menganut agama ini iaitu dewi Lakshmi sering digambarkan memegang buah ini.[27]

Galeri

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar