Pendeta

Pandita ialah suatu istilah bahasa Sanskrit (पण्डित paṇḍita[1] diakar perkataan पण्ड् paṇḍ "menghimpun, mengumpul"[2]) di mana ia pada asalnya merujuk kepada sebarang "orang terpelajar, terdidik atau bijaksana" atau "terlatih; berpengalaman" berilmu khusus.[1][3] Namun, ia menjadi khusus kepada suatu ilmuwan Brahmin[4] atau agama Hinduisme umumnya[5] yang mahir dalam pembacaan kitab-kitab Veda, perkara dharma, falsafah Hinduisme ataupun juga perkara luar agama seperti muzik.[6]

Konteks moden

Gelaran "pandita" masih berbekas melalui penyerapan ia dalam bahasa Melayu sebagai "pendeta" (disebut [pĕn.dé.ta]; Jawi: ڤنديتا)[7][1] namun dengan seberapa konotasi berbeza:

  • Masyarakat Minangkabau pernah menggunakan gelaran "pendeta" untuk merujuk kepada sebarang guru agama Islam setaraf "ustaz" seperti yang terakam dalam novel Marah Roesli, Siti Noerbaja: "tatkala dilihat oleh pendeta itu akan ... "[8]
  • Masyarakat Protestan di Indonesia menggunakan gelaran ini untuk mana-mana pengajar umum dalam jemaah gereja yang berkewajiban menentukan suasana dalam jemaat sehingga jemaat dapat lebih giat belajar-mengajar. Selain itu, "pendeta" juga merupakan seorang pengajar khusus yang melibatkan diri secara langsung dalam sebeapa situasi tertentu seperti kelas katekesasi, pendidikan teologi dan perkhutbahan.[9]
  • Sebagai kurniaan kepada tokoh-tokoh yang dianggap berkecemerlangan tinggi - misalnya Zainal Abidin bin Ahmad semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ketiga pada 1956 atas sumbangannya kepada perkembangan bahasa Melayu.[10][11]

Perkataan pandita turut terserap menjadi perkataan "pandai" melalui bahasa Jawa kuno bermaksud "tukang" (yakni dalam "pandai besi", "pandai emas") dan selanjutnya "cerdik, pintar, bijak".[7][12]

Rujukan