Merah (filem)

Merah ialah sebuah filem aksi romantik Malaysia 1996 arahan dan skrip oleh pemuzik tersohor negara, M. Nasir dalam penampilan sulungnya di kerusi pengarah.[2][3][4] Dibintangi oleh Awie, Ziana Zain dan M. Nasir sendiri, filem ini berkisarkan tentang Merah yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana terbabit dalam kes rompakan bersama dua rakannya. Selepas dibebaskan, dia bertemu dengan Kasih dalam program kaunseling. Kasih memberi kekuatan dan keazaman baharu kepada Merah untuk mengubah hidupnya. Filem ini ditayangkan pada 19 Disember 1996 dan menerima ulasan positif.[5][6]

Merah
Poster keluaran tayangan, direka bentuk oleh Mohd Foad Hassan.
PengarahM. Nasir
Penulis
Dihasilkan oleh
Dibintangi
SinematografiJamaluddin Maarif
Disunting oleh
  • Md Deris Hashim
  • Raja Jamaluddin
Muzik olehM. Nasir
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehSkop Productions
Tarikh tayangan
19 Disember 1996[1]
Masa tayangan
120 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.1 juta
Pecah panggungRM 1.5 juta

Sinopsis

Merah bersama dua rakannya, Hassan dan Salleh masing-masing terperangkap dalam permainan dunia. Asalnya ketiga-tiga watak ini berkiblatkan pada kebenaran dan kesucian, tetapi atas cabaran suratan nasib, mereka berubah. Mereka bertiga melakukan satu rompakan nekad untuk membantu nenek Salleh yang terlantar di hospital (memerlukan wang yang banyak untuk mendapatkan rawatan pakar - kebetulan miskin). Bertembung dengan sekatan jalan polis, Merah berkorban, mencadangkan kepada Hassan dan Salleh untuk melarikan diri, sementara dia memancing polis mengejarnya. Merah tertangkap, dipenjarakan lima tahun. Keluar - dipilih untuk menjalani program kaunseling - di sini bertemu dengan Kasih kaunselar sukarelawan. Kasih - anak sulung sepasang suami isteri yang kaya raya mahu mengenal erti hidup yang sebenarnya, lantas melakukan kerja ini - tinggal sendiri, jauh dari ibu bapanya dan memiliki sebuah kilang batik (tapi merahsiakan segala latar belakangnya). Dengan kehadiran Kasih, Merah seperti mendapat kekuatan baru, bertekad untuk berjalan di jalan yang lurus dan mereka sering memendamkan rasa sayang.

Pelakon

Kumpulan hip hop, Nico membuat penampilan khas sebagai penyanyi undangan di Kelab Rok Tatu.

Penerbitan

Merah ialah percubaan sulung penyanyi, M. Nasir sebagai pengarah dan merupakan filem pertama terbitan syarikat miliknya, Luncai Emas. Nasir turut berkhidmat sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah muzik.[11][12] Menurut Nasir, Merah bukan lanjutan daripada muzik video lagu "Mentera Semerah Padi" nyanyiannya, tetapi ialah nama watak utama filem pertamanya.[13] Untuk filem ini, beliau menggunakan sepenuhnya khidmat pelakon lelaki[14] dan yakin bahawa karya sulung arahannya akan memberikan kelainan berbanding filem tempatan lain yang pernah diterbitkan.[15]

Filem ini kembali menggandingkan Awie dan Ziana Zain, selepas gandingan mereka dalam filem Sembilu (1994) dan Sembilu II (1995) arahan Yusof Haslam berjaya menarik perhatian peminat.[16][17] Untuk persediaan bagi watak Merah, Awie menurunkan berat badannya. Beliau mengakui sedia untuk berimej botak jika dikehendaki oleh pengarah.[18] Kumpulan hip hop, Nico membuat penampilan khas.[19] Barisan pelakon lain termasuk Hani Mohsin, Jalaluddin Hassan, Arash Mohamad, Orkid Abdullah, Razzi Rahman dan Zakaria Yusof.[20] Skop Productions—syarikat penerbitan yang diasaskan oleh Yusof—mengendalikan urusan pengedaran.[21][22][23]

Penggambaran dijalankan pada November 1995 hingga Januari 1996,[24][25] manakala pasca-penerbitan dijalankan di Hong Kong pada Jun 1996.[26][27] Merah telah menjalani proses penilaian dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) dengan sedikit potongan membabitkan dialog yang dianggap kurang sesuai.[28][29]

Muzik

Merah: Original Soundtrack
Runut bunyi oleh
Pelbagai Artis
Dilancarkan pada18 November 1996
Dirakamkan pada1996
TempatMalaysia
GenrePop
BahasaBahasa Melayu
SyarikatLuncai Emas, BMG Music
PengarahM. Nasir
PenerbitM. Nasir
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini

Merah: Original Soundtrack ialah album runut bunyi filem Merah, yang dikeluarkan pada 18 November 1996 oleh Luncai Emas. Sebanyak 11 lagu dimuatkan dalam runut bunyi ini, dengan "Senja Nan Merah" nyanyian Awie dan Ziana Zain dikeluarkan sebagai single utama.[30][31][32]

Senarai runut

No.TajukPenulisKomposerMasa
1."Senja Nan Merah" (Awie & Ziana Zain) SethDarwis6:30
2."Ingin Masuk Syurga" (Awie) Kristo BimboHidayat5:43
3."Semua Dah Tertulis" (Awie) KeonAyu Amina6:24
4."Ya! Sidi Mustaffa" (M. Nasir) LoloqM. Nasir5:15
5."Amok Merah" (Joey Daud) LoloqJoey Daud4:56
6."Merah" (M. Nasir) M. NasirM. Nasir2:44
7."Di Radio" (Joey Daud) Kristo BimboJoey Daud, Marlin4:31
8."Mat Danger" (Nico) NicoNico4:30
9."Pada Satu Cinta" (Awie) SethM. Nasir4:43
10."Revolusi" (Awie) UsopM. Nasir6:40
11."Tinggalkan Satu Peluru" (M. Nasir) LoloqM. Nasir4:54


Tenaga kerja

Diperoleh daripada catatan media album runut bunyi Merah.[33]

  • M. Nasir - penerbit
  • Junainah Johari - penerbit eksekutif
  • Marlin Parabakaran - jurutera rakaman, adunan
  • Sunny Abd Razak - jurutera rakaman
  • Wan Rastari - jurutera adunan
  • Steve Smart - mastering
  • Mohd Foad Hassan - pereka kulit album
  • Studio Ronggeng - studio rakaman, adunan
  • Studio 301, Sydney, Australia - studio mastering
  • Digitpress - cetakan

Keluaran dan sambutan

Tayangan

Bagi mempromosikan filem ini, tayangan amal filem Merah diadakan di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) pada 23 November 1996,[34] diikuti oleh majlis tayangan perdana filem ini diadakan pada 28 November di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),[35] manakala majlis tayangan amal Merah diadakan pada 30 November di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan dihadiri oleh barisan pelakon filem ini.[36][37]

Merah dikeluarkan untuk tayangan tengah malam pada 14 Disember 1996 dan untuk tayangan umum di 31 pawagam seluruh Malaysia pada 19 Disember,[38] dengan tayangan perdana rasminya di panggung Odeon.[39][40][41]

Kutipan

Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila berjaya memperoleh kutipan pecah panggung sederhana sebanyak RM1.5 juta dalam tempoh tayangan perdana selama sebulan.[42]

Ulasan kritis

Ulasan yang diterima terhadap filem ini rata-ratanya positif. Azian Adnan dari Berita Minggu memuji percubaan sulung M. Nasir sebagai pengarah dan menulis bahawa filem ini "penuh saspens".[43] Marina Abdul Ghani dari The Malay Mail menyatakan kepujiannya terhadap filem ini sambil berkata "sememangnya hebat".[44] Charon Mokhzani, menulis untuk New Straits Times juga memuji karya sulung M. Nasir dengan menulis "filem sulung yang bergaya" sambil berkata: "Merah ialah arahan sulung yang mengagumkan dan contoh lakonan filem Malaysia yang terbaik [...] Apa yang penting ialah Merah menunjukkan adanya jalan ke hadapan dalam sebuah filem Melayu secara artistik dan teknikal".[45]

Anugerah

Pada malam Anugerah Skrin dan Bintang Popular 1996 yang diadakan pada 24 Ogos 1997, Merah telah memenangi Filem Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM70,000 dan trofi.[46][47][48] Pada 27 Ogos, filem ini terpilih sebagai salah satu daripada 10 filem yang disenarai pendek untuk penyertaan ke Anugerah Mutiara di Festival TV dan Filem Asia Timur Pertama (EAFTAB) yang berlangsung di Pulau Pinang.[49][50]

TahunAnugerahKategoriPenerima/Karya tercalonKeputusan
1997Anugerah Skrin 1997Filem TerbaikMerahMenang
Pelakon Lelaki Terbaik (Filem)AwieMenang
Pelakon Wanita Terbaik (Filem)Ziana ZainTercalon
Pelakon Pembantu Lelaki TerbaikM. NasirTercalon
Festival Filem Malaysia ke-13Anugerah Khas Juri (Penampilan Berkarisma Dalam Filem)AwieMenang

Adaptasi komik

Sebuah komik adaptasi filem ini telah diterbitkan setebal 80 muka surat dan dikeluarkan pada Hari Raya Aidilfitri 1997.[42]

Rujukan

Pautan luar