Matariki

Matariki merupakan suatu tempoh waktu di New Zealand di mana ternampaknya gugusan Bintang Tujuh (Matariki nama setempat ia dalam bahasa Māori)[1] pada akhir Mei hingga awal Jun semasa musim sejuk Hemisfera Selatan. Penampakan ini lazimnya penanda awal suatu kitaran tahun baru dalam kalangan masyarakat Māori; namun ada sesetengah puak dalam masyarakat yang mencerap ia pada waktu yang berbeza baik saat kelihatan gugusan bintang ini terbit mahupun ketika bulan purnama pertama atau anak bulan pertama setelah munculnya gugusan bintang ini.[2]

Gugusan Bintang Tujuh yang menjadi tumpuan perayaan Matariki.

Tempoh ini semakin lama semakin mendapat perhatian umum rakyat New Zealand; ia akhirnya mendapat pengiktirafan rasmi menjadi cuti awam dimaktubkan pada 2021 di mana tarikh keraian pertama jatuh pada 24 Jun tahun berikutnya.[3]

Peristilahan

Gugus bintang Matariki, dengan nama-nama bintang setempat Māori dan Barat yang sepadan.

Matariki datangnya daripada penyingkatan Ngā mata o te ariki o Tāwhirimātea yang bermaksud "mata-mata dewa Tāwhirimātea", tetapi ia kadangkala salah diterjemahkan menjadi "mata kecil";[4] istilah serupa juga muncul dalam beberapa bahasa serumpun Polinesia turunan akar bahasa Proto-Polinesia mataliki yang bererti kecil. Penggunaan istilah ini sebagai nama gugusan bintang Pleiades juga sudah ada sejak dahulu kala melalui pembinaan kembali kata dalam bahasa Oseanik Timur.[5][6] Gugusan bintang ini dinamakan sedemikian kerana bintang-bintang ini dipercayai merupakan dua-dua biji mata Tāwhirimātea yang dibaling kerana marah akibat pemisahan ibubapanya, Ranginui dan Papatūānuku, yang dilakukan adik-beradiknya.[7]

Tidak seperti orang Melayu yang percaya bahawa gugusan Pleiades dibentuk daripada tujuh bintang, orang Māori percaya adanya sembilan bintang dalam gugusan ini. Kesemua bintang-bintang segugus ini mempunyai nama yang tersendiri:[8][9]:24–35

  • Matariki (Alcyone)
  • Tupu-ā-nuku (Atlas)
  • Tupu-ā-rangi (Pleione)
  • Waitī (Maia),
  • Waitā (Taygeta),
  • Waipunā-ā-rangi (Electra)
  • Hiwa-i-te-rangi (Celaeno)
  • Ururangi (Merope)
  • Pōhutukawa (Sterope)

Bintang Antares dikatakan bapa semua bintang beradik ini bernama Rehua iaitu penghulu segala langit kayangan.[9]:22–24

Kepentingan

Gugusan bintang ini dilihat sangat penting untuk para peneroka mengemudi di lautan samudera serta menentukan waktu musim yang sesuai untik. Waktu terbit pertama Pleiades dan Rigel (Puanga atau Puaka) dilihat berlau sesaat sebelum matahari terbit pada akhir Mei atau awal Jun.

Masa meraikan perayaan Matariki sendirinya bergantung kepada kelaziman iwi setempat: ada iwi yang meraikan langsung setelah penampakan, sedangkan yang lain menunggu sampai terbitnya bulan purnama selanjutnya, atau fajar anak bulan selanjutnya—dan suku lain menggunakan waktu terbit Puanga/Rigel dengan cara serupa.[10][11] Perayaan ini diraikan selama 3-4 hari sehingga sebelum penampakan anak bulan (whiro) yang dianggap masa tidak sesuai.[12][9]:49

Penyambutan

Zaman dahulu

Tempoh ini dilihat sebagai merupakan masa untuk merayakan dan mempersiapkan tanah untuk tahun yang akan datang.[13] Persembahan hasil bumi dipersiapkan kepada para dewa, termasuk kepada dewa makanan budidaya Rongo. Pada masa ini juga merupakan waktu yang baik untuk mengajarkan pengetahuan mengenai tanah dan hutan pada generasi muda. Selain itu, burung dan ikan tertentu sangat mudah diburu pada masa ini.

Zaman kini

Pesta layang-layang meraikan Matariki di Auckland, 2015

Pada tahun 2001, Jawatankuasa Bahasa Māori mula bergiat "menuntut kembali Matariki, atau Tahun Baru Pasifik Aotearoa sebagai dorongan melestarikan bahasa Māori yang menjadi matlamat mereka. Sejak saat itu, perayaan Matariki menjadi amalan yang semakin umum bagi berbagai institusi[14][15][16] dalam berbagai cara[17][18] dalam zaman seminggu atau sebulan, suatu saat di awal Jun hingga akhir Ogos .

Pengusulan sebagai hari cuti kebangsaan

Dengan pengakuan yang lebih luas, terdapat usulan untuk menjadikan Matariki sebagai hari cuti rasmi di New Zealand—khususnya rancangan undang-undang peribadi dari mantan anggota parlimen Parti Māori Rahui Katene: Te Ra o Matariki Bill (Rang Undang-Undang Hari Matariki), berdasarkan hasil pemungutan suara pada Jun 2009.

RUU tersebut dirancang akan menetapkan tanggal hari libur umum berdasarkan penampakan anak bulan pada bulan Jun,[19] namun hal ini kemudian diubah menjadi bulan baru setelah waktu terbit bintang Matariki saat RUU tersebut dibatalkan sebulan kemudian dan ditetapkan ulang untuk diajukan ke Parlimen.[20] Wali kota Kota Waitakere Bob Harvey mendukung seruan menjadikan Matariki sebagai hari libur atau cuti kebangsaan untuk menggantikan Hari Kelahiran Ratu,[21] bersama dengan Gerakan Republik New Zealand yang mengungkapkan tidak ada wewenang lokal di New Zealand yang merayakan hari kelahiran tersebut, tetapi ada banyak pihak sama yang ikut merayakan Matariki.[22] Namun, rang itu sendiri tidak mengusulkan penghapusan Hari Keputerian Ratu malah tidak disetujui pada pembacaan pertamanya.[23]

Sebagai sebahagian dari perjanjian Parti Nasional-Parti Māori setelah [[pilihan raya New Zealand 2011, kedua-dua parti sepakat untuk mendukung "Rang Undang-Undang Warisan Budaya untuk mengakui Matariki/Puanga serta menghormati perdamaian meleraikan konflik yang terjadi di Parihaka."[24]

Pengisytiharan cuti umum

Pada 7 September 2020, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menjanjikan pelaksanaan cuti Matariki sekiranya Parti Buruh pimpinan beliau memenangi pilihan raya umum yang dilangsungkan pada tahun sama;[25] cuti ini dijangka akan dilaksanakan pada tahun selepas itu agar memberi peluang sektor perniagaan setempat pulih berikutan pandemik COVID-19 dalam negara tersebut.[26]

Pada 4 Februari tahun berikutnya, beliau yang kekal pada kerusinya mengumumkan tarikh cuti Matariki pertama jatuh pada 24 Jun 2022.[3][27] Pada 2 Julai tahun sama, kerajaan New Zealand menetapkan tarikh-tarikh jatuhnya perayaan rasmi Matariki dalam tempoh 30 tahun antara bulan Jun dan Julai kesemuanya pada hari Jumaat.[28]

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar