Lintasan selerak

Lintasan selerak atau lintasan tebaran (bahasa Inggeris: scramble crossing, Jepun: スクランブル交差点, rumi: sukuranburu-kōsaten) ialah sarana lalu lintas yang mengisyaratkan dan menghentikan seketika pergerakan kenderaan di jalan raya lalu menggilirkan peluang pejalan kaki menyeberang dari semua arah sesebuah persilangan/persimpangan secara serentak.

Persimpangan Shibuya, antara lintasan selerak paling sibuk di dunia terletak di Dataran Hachikō, Tokyo

Sejarah pembangunan

Lintasan ini mula dimasyhurkan Henry Barnes, seorang jurutera dari Amerika Syarikat yang mengambil iktibar memerhatikan kepayahan anak perempuannya berjalan kaki ke sekolah.[1] Beliau memperkenalkan lintasan ini di kota Denver, Colorado pada tahun 1940-an.[2] Pada masa sama, prasarana ini turut diuji secara berasingan di Bandar Raya Kansas dan Vancouver di Kanada.[3] Barnes mula menerapkan lintasan ini dalam infrastruktur Bandar Raya New York sebaik dilantik sebagai pesuruhjaya trafik kota raya tersebut pada Januari 1962, lintasan pertama ini di simpang Lebuh Vanderbilt dan 42nd Street mendapat sambutan dan pujian meriah di sana.[4]

Implementasi

Di Jepun

Sebuah lintasan selerak besar terletak di hadapan stesen Shibuya daerah Shibuya pusat bandar Tokyo. Lintasan ini dibuka pada tahun 1973;[5][6] lintasan ini menampung sebanyak 3,000 orang pejalan kaki pada satu-satu masa.[7]

Lintasan ini dianggap sebagai lintasan simpang paling sibuk di dunia."[8] Ia sendirinya telah menjadi salah satu tarikan atau mercu tanda utama bandar raya Tokyo.[7]

Nusantara

Suatu ujian lintasan ini terletak di simpang jalan Camhill-Orchard pusat kota Singapura dijalankan pada 16 Disember 2017 sehingga Januari 2018.[9]

Prasarana ini diperkenalkan di Malaysia dengan pembinaan lintasan serupa ini di Bukit Bintang, pusat bandar Kuala Lumpur; lintasan ini mula beroperasi pada 19 Jun 2021.[10][11] Pemasangan lampu pemandu arah untuk pejalan kaki dipasangkan di lintasan tersebut tidak lama kemudian.[12]

Rujukan