Idrus Harun
Tan Sri Dato' Sri Idrus bin Azizan @ Harun (Jawi: إدروس بن عزيزان @ هارون; lahir 2 Februari 1955) ialah seorang peguam dan Peguam Negara Malaysia ke-11. Beliau dilantik sebagai peguam negara itu pada 6 Mac 2020 selepas Langkah Sheraton. [1]
Kehidupan awal dan pendidikan
Idrus dilahirkan di Kampung Sanglang, Kedah pada 2 Februari 1955. Beliau berkelulusan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam dan Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dalam Kepujian di Universiti Malaya pada tahun 1980.[2]
Kerjaya
Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1980, Idrus memulakan kerjaya beliau sebagai pegawai undang-undang. Beliau pernah menjadi Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya.[3]
Pada 2014, Idrus telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sehingga 2018 apabila pelantikan beliau sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 November 2018. Pada 6 Mac 2020, beliau telah dilantik sebagai Peguam Negara Malaysia bagi tempoh dua tahun sehingga 2022. Pelantikan ini berikutan kekosongan jawatan yang ditinggalkan pendahulunya, Tommy Thomas.[3] Apabila kontrak berakhir pada tahun 2022, Idrus dilantik semula bagi tempoh setahun sehingga Mac 2023.
Pada 3 Mac 2023, Ketua Setiausaha Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan di dalam facebook miliknya, bahawa Idrus dilantik semula selama 6 bulan. [4][5]
Kehidupan peribadi
Idrus berasal dari keluarga besar sembilan adik beradik, yang dibesarkan di kawasan pedalaman Kedah, di Kampung Sanglang, Ayer Hitam. Bapa beliau ialah seorang ketua kampung manakala ibu beliau ialah seorang suri rumah.[6] Idrus juga merupakan abang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke-10, Azhar Harun.[1] Rakan-rakan yang mengenali Idrus menggambarkan beliau sebagai "budak kampung" kerana mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Melayu.[6]
Anugerah
Malaysia :
Panglima Jasa Negara (PJN) – Datuk (2007)[7]
Panglima Setia Mahkota (PSM) – Tan Sri (2014)[8]
Terengganu :
Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) – Dato’ (1997)[9]
Kedah :
Dato' Setia DiRaja Kedah (DSDK) – Dato’ (2007)[10]
Pahang :
Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato’ Sri (2013)[11]