Helang Salahuddin

Helang Salahuddin (Arab: عقاب صلاح الدين), juga dikenali di Mesir sebagai helang Mesir (العقاب المصري) [1] atau Helang Republik (العقاب الجمهوري) merupakan lambang helang yang terdapat pada jata-jata negara Arab seperti Mesir, Iraq, Palestin dan sebagainya.

Lakaran "helang Salahuddin" asal dari Kubu Kota Kaherah, Kaherah, Mesir.

Asal-usul

Lakaran semula lambang peribadi Salahuddin.

Pengasas dinasti Ayyubiyah, Salahuddin al-Ayyubi pernah berlambangkan bendera kuning yang dihiasi dengan helang sebagai lambang peribadi beliau.[2] Kubu Kota Kaherah yang dibina semasa pemerintahan Salahuddin di Mesir, mempunyai ukiran helang besar pada tembok barat yang dipercayai menggambarkan lambang Saladin. Lambang helang kini tidak berkepala, tetapi pada asalnya berkepala dua menurut penjelajah Uthmaniyah, Evliya Çelebi.[3] Garis-garis haluan pada helang ini tidak sepadan dengan yang ada di dinding, menunjukkan bahawa ia ternyata dipindahkan ke lokasi sekarang selepas zaman pemerintahan Saladin, mungkin sewaktu pemerintahan Muhammad Ali ketika bahagian atas tembok dibina semula.[4] Lambang helang berkepala dua juga digunakan pada duit syiling Al-Adil I, seorang sultan Ayyubi dan saudara kepada Salahuddin.[5]

Sejarah moden

Dalam sejarah moden, helang yang kini tampil denga rupa bentuk kekuningannya pertama kali diperkenalkan sebagai jata Republik Mesir semasa revolusi Mesir 1952. Jata ini kemudian diwarisi ke dalam jata Republik Arab Bersatu pada tahun 1958, dan semenjak inilah "helang Mesir" atau "Helang Salahuddin" diberi makna baharu sebagai lambang nasionalisme dan perpaduan.

Berikutan Revolusi Ramadan 1963 oleh Parti Ba'ath Iraq, helang Arab diperkenalkan sebagai lambang baru Iraq yang secara langsung berdasarkan reka bentuk yang digunakan oleh Gamal Abdel Nasser untuk revolusi Mesir.[6]

Persekutuan Republik Arab yang ditubuhkan oleh Muammar Gaddafi pada tahun 1972 pada mulanya berlambangkan Rajawali Quraisy tetapi beralih kepada helang Arab pada tahun 1984.[7] Sebaliknya, Republik Arab Libya Gaddafi pada tahun 1969 juga berlambangkan helang Salahuddin tetapi bertukar kepada Rajawali Quraisy pada tahun 1972. Pada revolusi Mesir 2011, helang dikaitkan dengan rejim Hosni Mubarak. Mehrez (2012) menceritakan grafiti lukisan stensil yang berupa Helang Salahuddin yang terbalik sebagai seruan untuk menggulingkan kerajaan.[8]

Galeri

Rujukan