Fumio Kishida

Perdana Menteri Jepun sejak 2021

Fumio Kishida (Bahasa Jepun: 岸田 文雄, Kishida Fumio, lahir 29 Julai 1957) ialah seorang ahli politik Jepun yang kini berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun ke-101 sejak 2021. Beliau sebelumnya berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri Jepun dari 2012 hingga 2017. Beliau adalah ahli Dewan Perwakilan dan Parti Demokratik Liberal (LDP). Beliau bertugas di kabinet Yasuo Fukuda sebagai menteri negara untuk hal ehwal Okinawa dan wilayah utara, dasar sains dan teknologi, dasar kualiti hidup, dan reformasi peraturan. Dalam LDP, Kishida dikaitkan dengan sudut pandangan yang lebih sederhana.[1]

Fumio Kishida
岸田 文雄
Potret rasmi, 2021
Perdana Menteri Jepun Jepun
Memegang jawatan
4 Oktober 2021
RajaNaruhito
Didahului olehYoshihide Suga
Presiden Parti Demokratik Liberal
Memegang jawatan
29 September 2021
Naib PresidenTarō Asō
Setiausaha AgungAkira Amari
Didahului olehYoshihide Suga
Menteri Luar Negeri
Dalam jawatan
26 Disember 2012 – 3 Ogos 2017
Perdana MenteriShinzō Abe
Didahului olehKōichirō Genba
Digantikan olehTarō Kōno
Menteri Pertahanan
Pemangku
Dalam jawatan
28 Julai 2017 – 3 Ogos 2017
Perdana MenteriShinzō Abe
Didahului olehTomomi Inada
Digantikan olehItsunori Onodera
Ahli Dewan Perwakilan
Memegang jawatan
18 Julai 1993
Kawasan pilihan rayaHiroshima ke-1
Butiran peribadi
Lahir (1957-07-29) 29 Julai 1957 (umur 66)
Hiroshima, Jepun
Parti politikParti Demokratik Liberal
PasanganYuko Kishida (k. 1988)
Anak-anak3
Alma materUniversiti Waseda
Tandatangan

Beliau memenangi pemilihan kepemimpinan LDP 2021, menggantikan Yoshihide Suga sebagai Perdana Menteri oleh Diet pada 4 Oktober 2021 yang kemudiannya akan memimpin parti LDP dalam pilihan raya umum Jepun 2021.[2]

Kehidupan awal dan pendidikan

Kishida dilahirkan dalam keluarga politik di Minami-ku, Hiroshima pada 29 Julai 1957.[3][4] Ayah dan datuknya adalah bekas ahli politik yang merupakan ahli majlis rendah, dan juga bekas perdana menteri Kiichi Miyazawa adalah saudara jauhnya.[4]

Kishida belajar undang-undang di Universiti Waseda dan lulus pada 1982.[3] Di Waseda, beliau berkawan dengan ahli politik masa hadapan Takeshi Iwaya.[5]

Kerjaya politik

Setelah bekerja di Long-Term Credit Bank of Japan yang sudah tidak wujud dan kemudian sebagai setiausaha kepada ahli Dewan Perwakilan, Kishida terpilih ke Dewan Perwakilan pada pilihan raya umum 1993, mewakili Daerah Hiroshima ke-1.[6]

Beliau dekat dengan pemimpin puak LDP Makoto Koga,[4] dan mengambil alih kawalan puak Koga pada Oktober 2012.[4]

Seperti Shinzō Abe dan kebanyakan ahli Kabinetnya, Kishida adalah ahli berkait dengan pertubuhan nasionalis terbuka Nippon Kaigi.[7]

Kishida berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Okinawa dari 2007 hingga 2008, pertama di Kabinet Abe dan kemudian di kabinet Fukuda.[8] Dia dilantik sebagai menteri negara yang menjaga hal ehwal pengguna dan keselamatan makanan di kabinet perdana menteri ketika itu Yasuo Fukuda pada tahun 2008.[4] Kishida juga merupakan menteri negara yang bertanggung jawab atas sains dan teknologi di kabinet Fukuda.[8]

Kabinet Abe

Kishida bersama Setiausaha Negara A.S. Rex Tillerson dan Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung-se, Februari 2017

Berikutan kemenangan LDP pada pilihan raya 2012, Kishida dinobatkan sebagai menteri luar negeri dalam Kabinet Perdana Menteri Shinzō Abe pada 26 Disember 2012.[6][9] Kishida menjadi menteri luar negeri yang paling lama berkhidmat dalam sejarah pasca perang, mengalahkan ayah Abe, Shintaro Abe.[10] Beliau membantu mengatur lawatan bersejarah Presiden A.S. Barack Obama ke Hiroshima pada 2015, dan mendapat perhatian pada 2017 ketika beliau muncul bersama pelawak Piko Taro untuk mempromosikan program PBB.[5]

Pada 2017, Kishida meninggalkan barisan Kabinet untuk mengambil alih jawatan ketua Majlis Penyelidikan Dasar LDP, kedudukan yang secara tradisional dilihat sebagai batu loncatan untuk kepimpinan parti.[11] Beliau mencari kedudukan ini untuk meningkatkan peluangnya untuk menggantikan Abe, kerana jawatan menteri luar negeri memiliki pengaruh yang sedikit di dalam parti.[10]

Kishida berhasrat mencalonkan dirinya dalam pemilihan presiden LDP 2018, tetapi dipujuk oleh Abe untuk tidak mencalonkan diri, dengan cadangan bahawa Abe kemudiannya akan menyokong Kishida sebagai penggantinya. Kishiada mengumumkan beliau akan bertanding dalam persaingan kepimpinan LDP pada 2020 selepas Shinzo Abe alami masalah kesihatan dan berhasrat untuk letak jawatan.[12] Namun beberapa ahli parlimen kanan LDP telah mengalihkan sokongan mereka dari Kishida kepada Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga. Timbalan Perdana Menteri Taro Aso menggangapnya sebagai "Kishida adalah untuk masa yang aman, bukan untuk masa yang bermasalah."[13] Salah satu faktor dalam pergeseran ini adalah cadangan yang tidak berjaya oleh Kishida untuk memberikan pembayaran rangsangan 300,000 yen kepada isi rumah semasa pandemik COVID-19.[14]

Perdana Menteri (2021-kini)

Pada 29 September 2021, Kishida mengalahkan Taro Kono dalam pusingan akhir undian untuk menjadi pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) yang berkuasa dan menggantikan pemimpin parti yang akan meletakkan jawatan, Yoshihide Suga. Beliau mendapat sejumlah 257 undi, dari 249 ahli parlimen dan lapan ahli berpangkat, untuk menjadi Perdana Menteri Jepun yang seterusnya.[2] Kabinet Kishida dilaporkan mempunyai 13 ahli baharu yang juga disertai oleh ahli veteran seperti Toshimitsu Motegi dan Nobuo Kishi.[15]

Keluarga

Baik datuk Kishida, Masaki Kishida, dan ayahnya, Fumitake Kishida, adalah ahli Dewan Perwakilan, dan sepupunya adalah menteri Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yoichi Miyazawa.[16]

Kehormatan

  •  Belanda: Knight Grand Cross of the Order of Orange-Nassau (29 Oktober 2014)[17]

Rujukan

Pautan luar

Jawatan politik
Didahului oleh
Kōichirō Genba
Menteri Luar Negeri
2012–2017
Diikuti oleh:
Tarō Kōno
Didahului oleh
Tomomi Inada
Menteri Pertahanan
Pemangku

2017
Diikuti oleh:
Itsunori Onodera