Faizal Tahir

Penyanyi, komposer dan penerbit rakaman Malaysia

Ahmad Faizal Mohammad Tahir (lahir 26 Oktober 1978) merupakan seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman Malaysia.[1][2] Dikenali dengan julat vokal dan gaya nyanyiannya, karya muzik Faizal telah memperoleh pujian kritis kerana liriknya berkisarkan tentang kehidupan, realiti dan kemanusiaan. Beliau juga terkenal kerana bijak mengikut peredaran zaman di dalam industri muzik tanah air.

Faizal Tahir
Faizal semasa sesi raptai Anugerah Juara Lagu ke-23 pada 18 Januari 2009.
Kelahiran
Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir

(1978-10-26) 26 Oktober 1978 (umur 45)
PendidikanDiploma Komunikasi Massa (Pengajian Media)
Pusat pendidikanUniversiti Teknologi MARA (UiTM)
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • pemuzik
  • komposer
  • penulis lirik
  • penerbit rakaman
  • pengacara
  • pelakon
Tahun aktif2004–kini
Karya
PasanganSiti Raihanim Noran (k. 2004)
Anak-anak7
IbuAllahyarhamah Muzlipah Aishah Pa'wan Teh
BapaAllahyarham Mohammad Tahir Abdul Rahman
SaudaraAnas Tahir (adik)
AnugerahSenarai penuh
Kerjaya muzik
Genre
Instrumen
  • Vokal
  • gitar
Syarikat rakaman
Pengkarya berkait

Dilahirkan di Kuala Lumpur, beliau memulakan kerjayanya bersama kumpulan nasyid Mirwana sebelum meneruskan kerjaya muzik secara solo. Beliau mula mendapat perhatian umum setelah menjadi naib juara musim pertama rancangan realiti One in a Million pada tahun 2006. Beliau menandatangani kontrak bersama Monkey Bone dan merakamkan album studio pertamanya, Aku.Muzik.Kamu (2007) yang didahului oleh single pertamanya, "Mahakarya Cinta", lagu yang dirakamkannya semasa pertandingan akhir One in a Million musim pertama. Album ini telah terjual sebanyak 10,000 ribu unit dan melayakkan beliau memenangi Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik. Beliau seterusnya merakamkan 4 lagi album studio—Adrenalin (2010), Faizal Tahir (2013), Anatomi (2016) dan Rojak (2019).

Faizal juga memiliki syarikat rakamannya yang diberi nama Faithful Music, yang ditubuhkan pada 2014, turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Beliau juga menjalankan gerakan amal bernama IAMFAITHMEN yang objektifnya ialah untuk menyokong dan menyebarkan positif dengan menghulurkan bantuan kepada insan yang kurang bernasib baik. Antara anugerah dan pencalonan yang diterimanya ialah Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Juara Lagu.

Kehidupan dan kerjaya

1978–2003: Kehidupan awal dan pendidikan

Beliau dilahirkan pada 26 Oktober 1978 di Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua daripada tujuh beradik kepada ibu bapanya, Muzlipah Aishah Pa’wan Teh dan Mohammad Tahir Abdul Rahman. Adik-beradik beliau ialah Muhammad Fahd Mohammad Tahir (Fahd Tahir), Muhammad Anas Mohammad Tahir (Anas Tahir), Norainiah Liyana Budriah Mohammad Tahir (Aini Budriah Tahir) dan Muhraini Fazira Mohammad Tahir (Fazira Tahir). Beliau pernah menghabiskan zaman kecilnya di United Kingdom. Faizal dan keluarga kembali ke tanah air sewaktu usianya lapan tahun.[3]

Sewaktu di bangku sekolah, beliau merupakan seorang ahli perbahasan dalam bahasa Inggeris untuk Sekolah Menengah Bukit Gading pada tahun 1995. Semasa di sekolah itu juga, beliau mempunyai kumpulan muzik yang sangat aktif dan ahlinya terdiri dari rakan-rakan sekolah yang sama. Selepas beliau menamatkan persekolahannya, beliau menyambung pelajaran di peringkat Diploma dalam jurusan Komunikasi Massa (Pengajian Media) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Shah Alam, Selangor.[4] Namun, sebulan sebelum tamat belajar, Faizal tidak menghabiskan pengajiannya. Selepas itu, Faizal membuat pelbagai kerja rencam. Beliau mencuba nasib dengan mengajar, menjadi penjual dan pengulas sukan serta pernah juga menjadi juruwang di restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) dan beberapa bank.[3]

2004–2006: Mirwana dan One in a Million

Faizal memulakan kerjaya awalnya dengan menyertai kumpulan nasyid Mirwana dan sempat muncul bersama album Hikmah Kembara pada 2004,[5][6][7] tetapi meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 2005 kerana masalah kesihatan. Namun begitu, beliau telah kembali aktif dalam industri muzik dengan memilih genre pop rock sebagai genre lagu nyanyiannya. Beliau telah menerima tawaran untuk menyertai musim pertama rancangan realiti One in a Million anjuran 8TV.

Persembahan dan keputusan One in a Million musim 1
Minggu #TemaLaguPenyanyi asalKedudukan #Keputusan
Top 12"I Don't Wanna Be"Gavin DeGraw8Mara
Top 10"With A Little Help From My Friend"Joe Cocker10Mara
Top 9"Are You Gonna Be My Girl?"Jet1Mara
Top 8"L.O.V.E."Ashlee Simpson4Mara
Top 7"Warisan Wanita Terakhir"Teacher's Pet8Mara
Top 6Pilihan Aubrey Suwito
Pilihan Peserta
"Superstition"
"Elevation"
Stevie Wonder
U2
4Mara
Top 5Pilihan Peminat"Superman"
"Raikan Cinta"
Five for Fighting
M. Nasir
5Mara
Top 4Solo dan Duet"Have a Nice Day"
"Bohemian Rhapsody" (duet bersama Deja Voodoo Spells)
Bon Jovi
Queen
5Mara
Top 3Lagu Dua Bahasa"Save Me"
"Kenangan Terindah"
Remy Zero
Samsons
2Mara
Top 3Grand Finale"We Will Rock You"
"L.O.V.E."
"I Don't Wanna Be"
"Mahakarya Cinta" (Lagu gubahan baru)
Queen
Ashlee Simpson
Gavin DeGraw
Dirinya sendiri
1Naib Juara

Pada permulaan persembahan Grand Finale, Marion Caunter dan Awal Ashaari mengumumkan bahawa Faizal meraih undian paling rendah dalam kalangan tiga finalis yang bertanding, namun beliau telah diberi satu lagi peluang untuk bertanding merebut hadiah utama.[8][9] Single asli pertama beliau, iaitu "Mahakarya Cinta" gubahan Audi Mok, dipersembahkan buat julung kalinya di Grand Finale One In a Million dan persembahan beliau telah dipuji para juri. Namun begitu, Faizal tewas kepada Suki Low yang diumumkan sebagai juara.[10][11][12]

Selepas pertandingan OIAM tamat, Faizal menubuhkan kelab peminatnya yang dikenali sebagai Rockensteiners dengan bantuan bapanya.[13][14] Kemudian, beliau mengeluarkan single kedua beliau, "Kasih Tercipta", sebagai runut bunyi filem Waris Jari Hantu arahan Shuhaimi Baba. Beliau juga dilantik sebagai duta Malaysia tunggal untuk jenama pakaian DC Superheroes sempena pembukaan butik pertamanya di 1 Utama pada Jun 2007,[15] kerana beliau dikenali kerana memakai kemeja T yang berlogo Superman sepanjang pertandingan One in a Million. Beliau turut terlibat dalam rancangan realiti lain dengan mengacara Gang Starz selama dua musim (2007-2008),[16][17] dan merakamkan lagu "Gemuruh" sebagai lagu tema pertandingan nyanyian My Starz LG.

2007–2010: Aku.Muzik.Kamu dan Adrenalin

Album sulung Faizal, Aku.Muzik.Kamu, menjengah pasaran pada 22 November 2007, dengan menampilkan 13 lagu gubahan sendiri beliau bersama-sama Audi Mok, Kuncidemak, Omar K, Aubrey Suwito, Tessh RS, dan Ahmad Izham Omar, termasuk versi orkestra "Mahakarya Cinta", dan single asli pertama dari album ini, "Batu & Golek" (iaitu terjemahan harfiah sepenuhnya bagi ungkapan "Rock n' Roll").[18][19] Selepas empat bulan di pasaran, Aku.Muzik.Kamu dilaporkan mencecah jualan 10,000 ribu unit.[20] Menerusi album ini, Faizal merangkul empat anugerah di majlis Anugerah Industri Muzik ke-15 iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Album Rock Terbaik dan Artis Baru Terbaik.[21][22]

Pada awal pagi 14 Mei 2008, Faizal hampir lemas ketika menjalani penggambaran video muzik "Sampai Syurga" di sebuah pusat akuatik Shah Alam.[23] Namun begitu, penggambaran dalam air itu berjaya disiapkan dengan selamat.[24][25] Muzik video rasmi bagi lagu ini disiarkan di 8TV pada 16 Jun.[26] Faizal menyertai akhbar Berita Harian sebagai kolumnis "Aku.Muzik.Kamu" dalam sisipan B-Pop dalam Berita Minggu mulai 5 Julai 2008.[27]

Faizal memenangi anugerah Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Lagu Balada Terbaik di AJL 23.

Faizal akhirnya muncul di Anugerah Juara Lagu ke-23 pada awal 2009,[28] di mana beliau merangkul tiga anugerah untuk lagu "Sampai Syurga" iaitu hadiah Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Juara Kategori Balada. Akan tetapi, timbulnya desas-desus bahawa Faizal Tahir hendak bersara dari bidang nyanyian untuk meluangkan lebih masa bersama keluarganya, tetapi akhirnya disangkal dengan kemunculan single "Bencinta" di corong-corong radio.[29][30]

Pada pertengahan 2009, Faizal meminjamkan suaranya untuk sebuah lagu patriotik ciptaan Audi Mok dengan liriknya oleh Nur Fatima sebagai penyertaan dalam pertandingan Pencarian Lagu 1Malaysia. Lagu yang bertajuk "Malaysia Satu" ini menumpaskan sembilan calon yang lain menerusi undian orang awam untuk memenangi pertandingan tersebut.[31][32]

Pada 20 November, beliau sepatutnya bertanding dalam Muzik-Muzik peringkat separuh akhir. Namun beliau tidak turut serta dalam acara itu selepas dimasukkan ke Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 18 November kerana mengalami masalah jangkitan kuman di paru-parunya.[33] Oleh itu, lagu beliau, "Bencinta" terpaksa dinyanyikan oleh Shila Amzah, penyanyi yang lahir dari program realiti yang sama dengan beliau, One In A Million musim 2.[34]

Walau bagaimanapun, lagu "Bencinta" layak ke acara Anugerah Juara Lagu 24, dan Faizal menangkis keraguan peminat dengan kemunculannya di malam kemuncak pada 11 Januari 2010, walaupun terpaksa bertongkat kerana belum sembuh sepenuhnya. Lagu tersebut berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan di AJL kali ini.[35]

Pada Februari 2010, Faizal digandingkan bersama Siti Nurhaliza dan Aizat Amdan untuk menjayakan Konsert Satu Suara terbitan Siti Nurhaliza Productions. Konsert tersebut berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, selama tiga hari, iaitu 12 hingga 14 Februari.[36]

Album kedua Faizal, Adrenalin keluar dalam bentuk muat turun digital di perkhidmatan muzik digital terpilih pada Disember 2009, diikuti keluaran umum dalam bentuk CD pada 11 Mac 2010.[a] Ini menimbulkan kemusykilan sesetengah pihak mengenai kelayakan album ini ke Anugerah Industri Muzik ke-17 gara-gara tarikh keluarannya. Faizal membidas dakwaan tersebut dengan menjelaskan perihal keluaran awal bentuk digital tersebut.[41]

Selepas konsert Satu Suara, Faizal sekali lagi membintangi konsert iaitu Fenomena Faizal Tahir yang dirakam di Sri Pentas 2, Shah Alam pada 8 Ogos 2010,[42] untuk siaran di TV3 pada 11 September, jam 6 petang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.[43] Dalam konsert ini, Faizal ditemani oleh tiga artis khas iaitu Azlan & The Typewriter, Adibah Noor dan M. Nasir.

2011–2014: Konsert pertama, Mentor dan album ketiga

Pada 29 April 2011, Faizal melancarkan video muzik "Karma" kepada umum menerusi tapak web gua.com.my.[44][45] Lagu tersebut memenangi tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-26 yang diadakan pada tahun berikutnya.[46] Dalam persembahan AJL tersebut, Faizal dilaporkan meluahkan hasratnya untuk membakar diri di atas pentas tetapi dihalang oleh pihak penerbitan, maka beliau hanya membakar piano yang dibawanya ke atas pentas.[47]

Faizal juga dipilih untuk menjadi seorang mentor di pertandingan Mentor musim 2012, walaupun pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran daripada TV3.[48] Beliau bersama anak didik atau protege beliau, Anas Ridzuan, menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam pertandingan realiti tersebut.

Beliau telah dipilih untuk menyanyikan lagu tema Sukan Olimpik London 2012 yang bertajuk "Go Malaysia Go" ciptaan bersama beliau dan Audi Mok.[49] Pada 1 Julai 2012, Faizal mengadakan 'konsert' pertamanya selaku artis rakaman di KL Live.[50][51]

Album ketiga Faizal, yang mengambil namanya sebagai tajuk album, dikeluarkan pada Mac 2013. Seperti dua album terdahulunya, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit. Antara lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah "Biar", "Vortex" dan "Antigraviti".[52][53]

Pada tahun 2014, beliau menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Faithful Music yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusan beliau. Elizabeth Tan, Hanie Soraya dan Aziz Harun diperkenalkan sebagai artis pertama di bawah label ini.[54][55][56][57][58]

2015–2018: One Night Only, Anatomi dan "Ragaman"

Pada tahun 2015, sempena ulang tahun ke-20 penglibatan Siti Nurhaliza di industri muzik Malaysia, Faizal bersama Hafiz Suip merakamkan dan menyanyikan sebuah lagu khas sebagai penghargaan kepada bekas juara Bintang HMI yang berjudul "Inspirasi". Lagu ini disiarkan secara eksklusif di Era FM dan boleh didapati untuk penstriman di Raku.[59] Demo asal dan lirik lagu ini digubah dan ditulis oleh Faizal manakala dalam versi akhir, Mike Chan membantu sebagai penulis bersama. Faizal mengarang kedua-dua muzik dan lirik dalam hanya beberapa jam selepas abang iparnya, Nazri Noran, yang merupakan Pengurus Kandungan Era FM ketika itu, meminta beliau untuk menyediakan demo.[60]

Pada 30 November 2015, beliau mengadakan persembahan di konsert One Night Only Faizal Tahir yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Konsert yang berlangsung selama 90 minit itu akan dipersembahkan kepada penonton melalui senarai 12 lagu yang dipilih dan diatur rapi oleh Faizal sendiri bersama kugirannya.[61][62][63] Persembahan beliau turut dihadiri oleh ibu bapanya.[64]

Beliau kembali berkolaborasi bersama Siti menerusi sebuah lagu duet yang bertajuk "Dirgahayu" hasil nukilan beliau sendiri bersama Mike Chan dan Ezra Kong. Dikeluarkan pada 12 Ogos 2016, lagu ini menandakan usahasama pertama mereka untuk merakamkan lagu bersama-sama dan dipilih sebagai lagu tema drama Lara Aishah.[65][66][67]

Pada September 2016, Faizal bersama Elizabeth Tan dan Jaclyn Victor terlibat dalam kempen #bersatuTENAGA anjuran Tenaga Nasional Berhad di mana mereka menyanyikan lagu bertajuk "Terangi Hidupku" sempena ulang tahun ke-53 penubuhan Malaysia pada 16 September 2016.[68]

Album keempat Faizal, Anatomi telah menjengah di pasaran pada 4 November 2016, dalam bentuk digital dan fizikal. Album ini memuatkan 10 lagu ini turut memuatkan lagu-lagu popularnya iaitu Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan juga beberapa kolaborasinya bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu "Dirgahayu", Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet bagi lagu "Negaraku".[69][70]

Pada Mei 2017, beliau bersama-sama dengan Aizat Amdan dipilih untuk menyanyikan lagu tema Kempen Ramadan Raya TV3 dan TV9 2017 berjudul "Terima Kasih". Lagu ciptaan dan lirik oleh Aizat sendiri dihasilkan berdasarkan melodi asal lagu "Jangan Menangis" nyanyiannya.[71]

Beliau menggalas tanggungjawabnya sebagai pengacara rancangan travelog Jelajah Hati yang disiarkan di TV1 sebanyak 13 episod bermula 21 Julai 2018.[72]

Pada Ogos 2018, Faizal melancarkan single terbarunya, "Ragaman".[73][74][75] Lagu ini menceritakan tentang kisah asam garam suami yang sabar melayan kerenah isteri. Beliau dengan tegas menolak tanggapan bahawa lagu tersebut dihasilkan berdasarkan kisah rumah tangganya sendiri.[76] Untuk lagu ini, beliau menggunakan lirik bahasa pasar degan diselitkan unsur jenaka. Faizal turut menyelitkan suara anak-anaknya sendiri dalam lagu ini.[77]

2019–kini: Rojak dan kejayaan berterusan

Faizal melancarkan single "Bisa Aja" pada 18 Januari 2019 diikuti dengan video muzik rasmi di YouTube pada 8 Februari 2019.[78][79] Faizal turut bekerjasama dengan produksi perfileman bagi menghasilkan runut bunyi bagi filem animasi tempatan, BoBoiBoy Movie 2, menerusi lagu "Fire & Water"[80] serta filem aksi komedi Bikers Kental 2, menerusi lagu "Bikers Kental" yang dinyanyikan bersama-sama Akim Ahmad.[81]

Persoalan berkaitan penerbitan album baharu akhirnya terjawab apabila Faizal memuatnaik senarai runut untuk album studio kelimanya di laman Instagram miliknya pada 16 dan 20 Julai 2019.[82][83] Seterusnya pada 24 Julai, Faizal melalui akaun Instagram mendedahkan bahawa album terbarunya diberi judul Rojak bersempena dengan "keunikan orang (masyarakat), budaya dan bahasa yang melambangkan Malaysia". Menurut Faizal, Rojak akan menjadi album studio terakhir beliau.[84][85]

Faizal ialah salah seorang daripada 45 artis popular yang bakal mengadakan persembahan di Petronas Celebratory Concert bersempena ulang tahun ke-45 syarikat minyak dan gas Petronas, artis yang terlibat termasuk Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, Ruffedge, M. Nasir, David Arumugam dan lain-lain.[86] Pada September, beliau mengumumkan akan berehat seketika dari arena muzik untuk tempoh yang panjang menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagram peribadinya: "Akan mengambil cuti berehat yang agak lama. Terima kasih untuk segalanya. Sehingga kita bertemu lagi,".[87][88]

Selepas selesai berehat panjang, pada 28 Februari 2020, Faizal berduet bersama Dayang Nurfaizah, Tuju dan Yonnyboii menerusi lagu "X Missing You".[89][90] Beliau kemudian muncul dengan single "Nobody" pada September, yang bergenre moden dan balada. Menurutunya, ialah "mesej lain daripada yang lain yang pernah disampaikan sebelum ini". Lagu ini sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer seperti Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.[91][92]

Faizal dan Zee Avi bekerjasama buat pertama kali menerusi lagu "Make It Through" dalam menjayakan kempen #KitaSapotKita anjuran Maxis. Projek lagu itu dihasilkan susulan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini. Menurut Faizal, mesej utama yang ingin disampaikan dalam lagu itu ialah untuk memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia supaya terus berfikiran positif.[93] Selain Faizal dan Zee, turut terlibat dalam projek ini ialah As'ad Motawh, Alyssa Dezek, Nabila Razali dan Nana Sheme.[94] Pada masa yang sama, beliau tampil dengan single terbaru berjudul "Sumandak", yang mana tajuknya merupakan loghat bahasa dari negeri Sabah yang bermaksud gadis atau gadis cantik. Muzik videonya juga telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini.[95][96][97]

Beliau bersama-sama Elly Mazlein dan Zizi Kirana merakamkan semula lagu klasik "Empat Dara" karya asal Atan Penambang dan Ahmad Yusoh dengan tajuk "Empat Dara 2020". Sejak pelancaran rasminya di YouTube pada November 2020, muzik video lagu ini menjadi sohor kini nombor dua di platform YouTube Malaysia dengan jumlah tontonannya juga sudah mencecah 4.5 juta dengan lebih 9,400 komen daripada pelayar yang rata-rata terhibur dan memberi sokongan sangat positif. Lagu ini juga berjaya menjuarai Carta RIM Domestik[98][99] Lagu ini juga dipersembahkan secara langsung di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33.[100]

Pada 19 April 2021, Faizal muncul dengan sebuah album keagamaan yang bertajuk Qibla. Album ini menampilkan kerjasama Faizal bersama kumpulan nasyid yang pernah dianggotainya, Mirwana menerusi rakaman semula lagu "Aku Tanpa CintaMu".[101][102][103] Ia turut memuatkan lagu baharu berjudul "Syahadah" dan rakaman semula "Ceria Aidilfitri" bersama Zizi Kirana serta kumpulan Darmas dan juga memuatkan 10 klip audio tadabbur yang dipilih dan dibaca oleh Faizal. Qibla menjadi album terakhir Faizal, pada masa yang sama, beliau mengumumkan untuk berehat panjang dari bidang muzik kerana mahu meluangkan lebih banyak masanya bersama keluarganya.[104][105][106]

Selepas tamat tempoh berehat panjang, Faizal muncul dengan single "Alah Bisa" pada Mei 2022 yang bergenre Pop Rakyat, menampilkan duet bersama Amira Othman. Lagu ini ialah ciptaan secara kolektif oleh Faizal sendiri, bersama-sama komposer berbakat seperti Glow Rush, Nick Ariff, Acap Salim dan Mage.[107][108][109] Pada 23 September, beliau muncul dengan single "Santai" yang sarat dengan mesej berunsur nasihat. Lagu ini ialah hasil ciptaan bersama beliau dan Ezra Kong.[110][111]

Pada 4 Mac 2023, beliau mengadakan persembahan di Konsert Malam Bulan Bintang yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil. Konsert ini berjaya menghimpunkan lebih 9,000 peminat. Antara artis yang turut beraksi ialah Siti Nurhaliza, M. Nasir, Salammusik dan ramai lagi.[112][113] Pada Ogos, beliau muncul bersama single "OK" yang berunsur nasihat dengan penambahan rentak dikir barat, sekali gus kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karyanya sebelum ini.[114][115][116]

Pada 2 September, Faizal mengadakan konsert solo pertamanya, Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur dengan kerjasama Allianz Malaysia yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL). Menerusi konsert ini, beliau berkongsi pengalaman 17 tahun beliau dalam industri muzik. Beliau mempersembahkan beberapa lagunya seperti "Sampai Syurga", "Selamat Malam", "Assalamualaikum" dan "OK" dalam konsertnya ini. Konsert ini menjadi kejayaan komersial apabila ia dihadiri seramai 3000 penonton.[b]

Cabang lain

Aktiviti kemanusiaan

Pada Jun 2010, Faizal dilantik oleh TV3 sebagai duta "Bebaskan Bumi Palestin",[122] sebuah kempen yang dilancarkan sebagai balasan kepada kejadian rampasan kapal bantuan kemanusiaan oleh pasukan pertahanan Israel di perairan Jaluran Gaza pada bulan sebelumnya. Beliau memasuki kawasan berkenaan menerusi sempadan Lubnan pada 12 Ogos[123] dan bermalam bersama warga Palestin di situ selama enam hari sehingga 17 Ogos.[124] Sekembalinya dari situ, Faizal menjawab sidang media: "Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Rasa sebak dan sedih bercampur baur terutama bila melihat keadaan mereka yang cukup daif. Namun saya cuba kawal perasaan sedih yang menyelubungi diri saya ketika itu. Tapi, apabila melihat keperitan mereka, saya rasa bersyukur tidak terhingga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Wujud pula keinsafan, saya mula terfikir rupa-rupanya masalah yang saya alami sebelum ini tidaklah sebesar mana sebagaimana yang ditanggung masyarakat di sana."[124] Liputan jelajah beliau di bumi Palestin turut dirakamkan untuk rancangan khas Bersamamu: Bebaskan Bumi Palestin yang disiarkan di TV3 pada 25 Ogos, 1 September dan 8 September 2010 sempena musim Ramadan dan Aidilfitri.[123]

Dari 6 sehingga 17 Januari 2020, beliau bersama-sama dengan Aizat Amdan dan Noh Salleh menyertai projek Misi Musim Sejuk 7.0 anjuran Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) di Turkiye, Lubnan dan Syria bagi memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk terus membuka mata dan lebih prihatin terhadap isu pelarian Syria.[125]

Kerja amal

Di luar kerjaya muziknya, Faizal telah menubuhkan gerakan amal yang diberi nama IAMFAITHMEN pada tahun 2015. Badan ini juga bertindak sebagai pengantara bagi memudahkan masyarakat yang mahu menghulurkan bantuan kepada insan yang memerlukan. Menurut Faizal, dengan cara ini ia membantu menyatukan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan NGO dalam pelbagai kerjasama yang bukan sekadar tertumpu kepada pengumpulan dana, malah program lain seperti ceramah dan konsert.[126] Pada tahun 2017, IAMFAITHMEN dianugerahkan Anugerah Sukarela Terbaik oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).[127]

Pada Februari 2017, Faizal bersama kumpulan pelawak adik-beradik, Zero dilantik sebagai duta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).[128][129] Menurut Faizal, beliau terima tawaran menjadi duta SL1M kerana ingin berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada orang ramai. Katanya: "Bergelar penghibur bukan sekadar glamor dan menyanyi di pentas sebaliknya saya ingin memberi motivasi dan impak positif kepada masyarakat".[130]

Beliau kemudian dilantik sebagai panel Persidangan Sukarelawan Serantau Asia Pasifik ke-15 (IAVE 2017), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan disertai 350 peserta dari negara Asia Pasifik bermula 22 hingga 26 November 2017.[131]

Dari 26 Februari sehingga 8 Mac 2018, Faizal bersama seorang wakilnya daripada IAMFAITHMEN menyertai Hand4Hand, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Brunei, untuk memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar di Bangladesh.[132]

Kehidupan peribadi

Faizal berkahwin dengan Siti Raihanim Noran pada 23 Jun 2004 yang dikenali beliau sejak menuntut di UiTM.[133][134] Pasangan ini dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu Ahmad Mikaeel Zidane (lahir 2005), Siti Raudhah Nur Iman (lahir 2007), Ahmad Rifa'ie Zidane (lahir 2009), Siti Rawdha Nur Jannah (lahir 2011)[135] Siti Nawar Malaika (lahir 2013), Khalid Al-Walid (lahir 2015)[136] dan Maryam Tahirah (lahir 2021).[137][138] Beliau mendedahkan bahawa nama anak bongsunya merupakan gabungan nama isteri Nabi Muhammad, Maryam dan nama arwah bapanya, Tahir. Beliau turut mendedahkan bahawa Maryam Tahirah menghidap sindrom Down sejak lahir.[139][140]

Beliau juga merupakan adik ipar kepada Nazri Noran, ketua pegawai operasi Media Prima Audio. Pernah timbul desas-desus pada akhir dekad 2000-an bahawa lagu Faizal jarang diputarkan oleh Era FM, kononnya kerana Nazri yang mengurus stesen tersebut ketika itu ingin "mengelak daripada disalah anggap sebagai mengamalkan sikap pilih kasih".[141]

Bapanya, Dr. Mohd Tahir Abdul Rahman meninggal dunia pada 28 September 2021 akibat komplikasi jantung di Hospital UiTM Sungai Buloh, jam 3.40 pagi pada usia 71 tahun,[142][143][144] diikuti pula oleh ibunya, Muzlipah Aishah Pa'wan Teh, yang meninggal dunia pada 14 Januari 2024, juga pada usia 71 tahun.[145][146]

Beliau juga bersahabat baik dengan penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman. Faizal mengakui bahawa Yasin merupakan antara sahabat baik yang berjaya mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik selain banyak perkara tentang kehidupan yang dipelajarinya daripada Yasin, terutama yang melibatkan hal-hal berkaitan agama dan juga Al-Quran.[147][148][149]

Beliau juga ialah penyokong tegar pasukan bola sepak Inggeris, Liverpool.[150]

Kontroversi

Pada 13 Januari 2008, kerjaya Faizal tercemar apabila mengundang rasa tersinggung ramai pihak apabila menanggalkan baju dan tali pinggang beliau di atas pentas pada konsert ulang tahun keempat 8TV yang disiarkan secara langsung.[151] Oleh itu, 8TV mengambil tindakan tegas dengan memberi amaran keras kepada beliau dan mengehendaki beliau terlibat dalam kerja-kerja amal selama enam bulan. Di samping itu, dua hari selepas peristiwa itu, 8TV mengadakan sidang akhbar untuk Faizal memohon maaf kepada semua pihak yang berasa tersinggung oleh perbuatannya. Menurut beliau:

Saya cukup teruja ketika membuat persembahan di pentas sekali gus ingin meraih perhatian penonton. Saya buat perkara itu hanya untuk berseronok dan tidak sangka tindakan saya disalah tafsir oleh semua. Bagaimanapun saya sangat menyesal atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.[152]

Akibatnya, pada 19 Januari 2008, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengarahkan supaya Faizal dilarang muncul dalam mana-mana rancangan televisyen swasta selama tiga bulan berkuat kuasa 15 Januari 2008, dan juga menggantung rancangan-rancangan siaran langsung dan tertunda berbentuk hiburan di 8TV sepanjang tempoh yang sama.[153][154] Tidak lama selepas tempoh hukuman itu berakhir, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mengeluarkan bantahan terhadap TV3 untuk membawa Faizal ke Konsert Jom Heboh yang diadakan di negeri tersebut pada hujung minggu pertama bulan Mei.[155]

Diskografi

Album studio

Filemografi

Filem

TahunTajukWatakCatatan
2010Lu Pikirlah Sendiri de MovieDirinya sendiriFilem pertama, penampilan khas
2024Pendekar Awang: Darah Indera GajahUtusan To' Ku PalohPenampilan khas

Televisyen

TahunTajukPerananSaluran TV
2018Jelajah HatiPengacaraTV1
Big Stage (musim 1)Juri TetapAstro Ria
2020Big Stage (musim 3)

Anugerah dan pencalonan

Selepas kejayaannya, Faizal memenangi Artis Baru Terbaik dan menerima 7 pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-15, memenangi 3 daripadanya menerusi hasil kerjanya dalam album Aku.Muzik.Kamu.[156] Beliau juga memenangi Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-23 menerusi lagu "Sampai Syurga". Pada tahun 2010, album Adrenalin memenangi kategori Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17[157] sementara lagu "Karma" memenangi tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-26. Beliau juga dinobatkan Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-23.[158] Lagu "Assalamualaikum" mendapat tontonan sebanyak 1.5 juta di YouTube dan memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2015 di Singapura. Beliau juga menerima tujuh pencalonan dalam lima kategori di Anugerah Planet Muzik 2016.[159] Beliau juga tercalon untuk kategori Best South East Asia Act di MTV Europe Music Award 2015 dan 2017.[160][161][162]

Catatan

Rujukan

Pautan luar