Darah penuh

Darah penuh ialah darah manusia yang diperolehi mengikut prosedur pendermaan darah yang piawai.[1][2] Ia digunakan untuk merawat pendarahan teruk melalui transfusi tukaran atau apabila orang menderma darah kepada diri mereka sendiri.[1] Satu unit darah penuh (~517 mL) meningkatkan tahap hemoglobin kira-kira 10 g/L.[3][4] Padanan silang biasanya dilakukan sebelum darah diberikan.[2][5] Kemudian darah itu diberikan melalui suntikan ke dalam vena.[6]

Darah penuh
Pakej darah penuh hasil sumbangan penderma di Persatuan Palang Merah
Data klinikal
Kaedah
pemberian
IV
Kod ATC
Pengecam
ChemSpider

Kesan sampingan termasuk pemecahan sel darah merah, peninggian kalium darah, jangkitan, pembebanan lampau isi padu saluran darah, kecederaan peparu, dan pelbagai jenis tindak balas alahan seperti anafilaksis.[2][3] Darah penuh terdiri daripada sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma darah.[3] Darah penuh adalah yang terbaik jika digunakan dalam masa sehari selepas pengumpulan, tetapi ia juga boleh digunakan dalam jangka masa tiga minggu.[3][5][7] Darah biasanya dikumpul sekali dengan pengantikental dan pengawet semasa proses pengumpulan.[8]

Pemindahan pertama darah penuh dilakukan pada tahun 1818, tetapi penggunaan secara umum tidak berlaku sehinggalah Perang Dunia Pertama dan Kedua.[5][9] Darah penuh disenaraikan dalam Senarai Piawai Ubat-ubatan Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia.[10][11] Pada tahun 1980-an kos darah penuh dianggar bernilai 50 dolar seunit di Amerika Syarikat.[12] Darah penuh tidak biasa digunakan selain negara-negara membangun dan kegunaan tentera.[2] Ia digunakan untuk membuat beberapa produk darah termasuk sel darah merah terpadat, platelet pekat, kriomendakan, dan plasma beku segar.[1]

Penggunaan perubatan

Darah penuh mempunyai risiko yang serupa seperti pemindahan sel darah merah dan mesti dipadansilangkan untuk mengelakkan tindak balas transfusi hemolitik. Kebanyakan punca penggunaan adalah sama seperti penggunaan sel darah merah, dan darah penuh tidak kerap digunakan di negara-negara berpendapatan tinggi kerana sel darah merah terpadat sentiasa tersedia.[13][14] Walau bagaimanapun, penggunaan darah penuh adalah lebih biasa di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Lebih 40% darah yang dikumpul di negara-negara berpendapatan rendah digunakan dalam bentuk darah penuh, manakala kira-kira satu per tiga darah yang dikumpul di negara berpendapatan sederhana digunakan dalam bentuk darah penuh.[15]

Darah penuh kadangkala "dicipta semula" daripada sel darah merah dan plasma beku segar yang tersimpan untuk kegunaan pemindahan neonatal. Hal ini dilakukan untuk menyediakan produk akhir (contohnya gabungan sel merah jenis O dan plasma jenis AB) dengan nilai hematokrit (peratusan sel darah merah) yang sangat spesifik untuk meminimumkan kemungkinan komplikasi. 

Transfusi darah penuh digunakan dalam persekitaran tentera dan sedang dikaji dalam penjagaan trauma pra-hospital dan dalam persekitaran awam melibatkan pemindahan besar-besaran.[13][16][17][14]

Pemprosesan

Pada masa lalu, darah ditransfusikan dalam bentuk darah penuh tanpa pemprosesan selanjutnya. Kebanyakan bank darah kini memisahkan darah penuh kepada dua atau lebih komponen,[18] kebiasaannya komponen sel darah merah dan komponen plasma (contohnya: plasma beku segar). Platelet untuk kegunaan transfusi juga boleh disediakan daripada satu unit darah penuh. Sesetengah bank darah telah menggantikan cara pengumpulan platelet dari mengekstrak platelet dari darah penuh kepada mengumpul platelet melalui plateletferesis kerana platelet darah penuh, kadangkala dipanggil platelet "penderma rawak", mesti digemblengkan daripada berbilang penderma untuk mendapatkan bilangan platelet yang memenuhi dos terapeutik dewasa. 

Darah yang dikumpul biasanya diasingkan kepada komponen melalui salah satu daripada tiga kaedah berikut. Yang pertama adalah menggunakan mesin empar dengan cara "putaran keras" yang memisahkan darah penuh kepada plasma dan sel merah. Kaedah kedua pula menggunakan mesin yang sama tetapi guna "putaran lembut" untuk memisahkan darah penuh tersebut kepada plasma, lapisan kelabu (digunakan untuk menghasilkan platelet), dan sel darah merah. Kaedah ketiga ialah melalui pemendapan: darah hanya dibiarkan duduk semalaman dan sel merah dan plasma dipisahkan melalui interaksi graviti.

Penyimpanan

Darah penuh biasanya disimpan dalam keadaan yang sama seperti sel darah merah dan boleh disimpan sehingga 35 hari jika dikumpulkan dengan larutan penyimpanan CPDA-1, atau 21 hari jika menggunakan larutan penyimpanan biasa yang lain seperti CPD.

Jika darah digunakan untuk menghasilkan platelet, ia dibiarkan pada suhu bilik sehingga proses selesai. Proses ini mesti dilakukan dengan cepat untuk meminimumkan penyimpanan RBC dalam keadaan suhu tinggi.

Rujukan

Pautan luar