Aznil Nawawi

Pengacara, pelakon, pengarah, penyanyi, penghibur dan penyampai radio Malaysia

Datuk Aznil bin Haji Nawawi (lahir 6 November 1962), lebih mesra dengan panggilan Pak Nil, merupakan seorang pengacara, pelakon, pengarah, penulis, penyanyi, penghibur dan penyampai radio di Malaysia.[1][2] Aznil berkecimpung di dalam bidang pengacaraan lebih dari 26 tahun.[3] Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.[4]


Aznil Haji Nawawi
Aznil pada 2010.
Kelahiran
Aznil bin Haji Nawawi

(1962-11-06) 6 November 1962 (umur 61)
Nama lainPak Nil
PendidikanIjazah Sarjana Ekonomi
Pusat pendidikanUniversiti Malaya
PekerjaanPengacara, pelakon, pengarah, penulis, penyanyi, penghibur, penyampai radio
Tahun aktif1990−kini
Karya terkenal
Akademi Fantasia
Macam-Macam Aznil
Tom Tom Bak
Jangan Lupa Lirik
Seiras Seirama
LePakNil
PasanganZahauyah Tarmizi (bercerai)
Anak-anak3
IbuHajah Norbaiti binti Haji Surur
BapaHaji Nawawi bin Shirin
SaudaraNora Nawawi (kakak)
Kerjaya muzik
GenrePop
InstrumenVokal
Tahun aktif1996, 2006, 2008
Syarikat rakaman
Pony Canyon
KRU Records

Aznil memulakan kerjaya penyiarannya pada 1990 sebagai penyampai berita dan wartawan di rangkaian televisyen swasta Malaysia, TV3. Sepanjang bersama TV3, antara rancangan dikendaikan oleh beliau ialah Buletin Utama (sebagai penyampai berita), Melodi dan Pop Kuiz (kedua-duanya menampilkan beliau sebagai pengacara). Pada tahun 1996, beliau melancarkan album pertama Macam-Macam di bawah syarikat rakaman Pony Canyon. Bagi kerjayanya sebagai pelakon, Aznil telah membintangi beberapa kredit filem seperti Sama Tak Serupa (1995), Aku No. 1 (2004), Cicak-Man (2006) dan Magika (2010). Beliau melancarkan kerjaya muziknya pada 1996 dengan pelancaran album pertama, Macam-Macam terbitan Pony Canyon dengan single hits "Jumpa Di Sana" dan diikuti oleh album kedua, Aznil terbitan KRU Records pada 2008.[5]

Beliau dianugerahkan gelaran kehormat Datuk oleh Yang Di-Pertuan Agong sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2013. Sepanjang kerjayanya dalam bidang penyiaran, Aznil telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Seri Angkasa bagi Pengacara TV Popular, dan beberapa lagi anugerah yang diterimanya.

Di luar bidang seni, Aznil juga terlibat dalam pelbagai acara amal, kempen dan aktiviti kebajikan termasuk Kempen Jom Ganyang Aedes anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi peranannya sebagai duta, Aznil dilantik sebagai Duta Perpaduan bersama Dato' Sri Siti Nurhaliza oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Duta Sihat 1Malaysia, dan Ikon Cinta Malaysia oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 6 November 1962 di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur (Pada masa itu, masih di bawah jajahan negeri selangor) Persekutuan Tanah Melayu (sebelum dikenali sebagai Malaysia). Beliau adalah anak keenam daripada tujuh beradik, kepada pasangan Hajah Norbaiti Surur (7 Julai 1926 – 27 Jun 2016)[6] dan Haji Nawawi Shirin. Beliau memegang ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya dan memulakan kerjaya beliau pada tahun 1990 sebagai seorang wartawan media di Rangkaian televisien swasta, TV3.

Kerjaya

Penyiaran

Aznil dan kanak-kanak di rancangan Tom Tom Bak

Ketika memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran, Aznil terlibat dalam berita. Beliau kemudian beralih ke sesuatu yang amat berbeza iaitu mengacara rancangan permainan Pop Kuiz pada tahun 1992.[7] Ini diikuti oleh kerja mengacara rancangan majalah hiburan dan gosip Melodi pada tahun 1994, dan seterusnya Teleskop, rancangan wawancara terulung yang membincangkan isu kontroversi di negara.

Pada tahun 2000, Aznil bertapak di ntv7 sebagai pengacara rancangan lawak Kamera Apo?.[8][9]

Selepas itu, Aznil berpindah ke Astro Ria, dan di situlah belaiu menandakan kemasukan beliau sebagai pengacara kreatif saluran ini. Antara projek-projek beliau yang terkenal ialah penglibatannya dalam program realiti Akademi Fantasia sejak 2003 sehingga mengumumkan pengunduran diri dari rancangan tersebut pada tahun 2007 setelah lima tahun dan lima musim berturut-turut.

Pada tahun 2005, setelah menghabiskan dua musim AF, Aznil kemudiannya mencipta rancangan beliau sendiri berjudul Macam-Macam Aznil yang memaparkan "macam-macam". Rancangan ini yang dinobatkan sebagai Rancangan Temu Bual Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura kini disiarkan di Astro Prima.

Pada tahun 2007, setelah mengumumkan pengunduran diri dari AF, Aznil beralih ke pembikinan rancangan kanak-kanak Tom Tom Bak untuk Astro Ceria.[10][11][12][13]

Pada tahun 2009, Aznil digandingkan bersama Din Beramboi[14] sebagai pasangan juruhebah terbaru rancangan Riuh Pagi di Era FM, sebagai satu langkah penstrukturan semula stesen radio berkenaan yang berhadapan dengan kemerosotan jumlah pendengar kepada pesaing terdekatnya, Hot FM. Pada tahun yang sama, filem Cicakman 2 - Planet Hitam ditayangkan di pawagam,[15][16] Aznil kembali melakonkan watak Profesor Klon.[17]

Beliau bersama-sama Suhaimi Sulaiman dan Dangsuria Zainuddin menjadi juri rancangan realiti TV terbitan Astro, On Air, iaitu sebuah rancangan realiti TV yang diwujudkan bagi mencari bakat baharu dalam bidang penyiaran. Hafizul Kamal, Hefny Sahad, Dahlia Shazwan merupakan antara peserta yang dicungkil menerusi On Air, sekaligus melancarkan kerjaya penyiaran mereka.[18]

Pada Januari 2015, beliau terbang ke Los Angeles, California, Amerika Syarikat atas jemputan NBC Universal untuk acara International Press Junket yang bertujuan memperkenalkan program musim baharu seperti Live From Red Carpet, The Kardashians dan Fashion Police. Malah ketika di sana beliau juga berkesempatan menghadiri acara Anugerah Golden Globe. Pada 22 Februari, beliau dijemput oleh HBO Asia bagi menjayakan acara permaidani merah Anugerah Akademi ke-87 yang diadakan di Hollywood.[19]

Pada 30 September 2015, Aznil menamatkan kontrak 10 tahun bersama ASTRO, sambil menyatakan beliau kini pengacara bebas. Beliau yang berkhidmat sebagai naib presiden bahagian pembangunan bakat Astro, mengakui rindu untuk muncul kembali di TV3 dan RTM.[20]

Pada Februari 2016, Aznil sekali lagi terbang ke LA bagi menjayakan acara permaidani merah Anugerah Akademi ke-88.[21][22][23]

Pada April 2017, Aznil telah dipilih sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2017 bagi menggantikan personaliti TV Singapura, Najip Ali yang digugurkan sebagai juri tetap berikutan kontroversi persenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam rancangan TV negara itu, Ok Chope! yang disiarkan pada 29 Mac 2017, mengundang kemarahan rakyat.[24][25][26][27]

Muzik

Aznil melancarkan album sulungnya, Macam-Macam di bawah syarikat rakaman Pony Canyon. Album yang dikeluarkan pada 31 Disember 1996 mengandungi 10 lagu, "Jumpa Di Sana" ialah single pertama album ini, lagu "Zakia" dendangan asal Ahmad Albar turut dimuatkan dalam album ini.

Pada 13 Ogos 2008, beliau melancarkan EP pertamanya, EP terbitan KRU Studios yang memuatkan empat buah lagu. Tiga daripadanya adalah ciptaan komposer terkenal Edry Abdul Halim berjudul "Jangan Cepat Marah", "Profesor Klon" dan "Teramat Sangat".[28] Lagu "Teramat Sangat" dimuatkan dalam album runut filem Duyung, lagu "Profesor Klon" dimuatkan dalam album runut bunyi filem Cicakman lakonan Aznil. Album ini juga memuatkan lagu "Toyol" nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang diubahsuai susunan muziknya agar menjadi lebih rancak. Dalam temuramah semasa pelancaran EPnya,[29] beliau berkata:

"Kemudian Edry meyakinkan saya untuk teruskan perjuangan dalam industri ini. Katanya, saya boleh menyanyikan lagu yang berkarektor. Maksudnya, orang nak lihat persembahan saya yang aktif. Mereka datang untuk berhibur dan saya selesa menyanyikan lagu yang menghiburkan. Jadi, saya kata ok lah kerana tiga suku daripada peminat saya adalah kanak-kanak. Mereka nak lagu yang lucu dan lebih dekat dengan mereka. Dengan penuh hormat saya ikut sahaja dan menyanyi. Bila lagu saya dipasarkan, ramai yang sukakan lagu itu. Lepas tu, saya nyanyikan apa sahaja lagu yang diberikan. Alhamdulillah, ini adalah pelancaran album yang pertama dalam hidup saya sebab album yang dulu tidak dilancarkan,[30]

Aznil sendiri mengakui bahawa pelancaran album yang pertama walaupun pernah dilancarkan pada 1996.

Televisyen dan filem

Pada 1997, beliau mengarahkan siri televisyen pertamanya yang bertajuk Si Lembik yang dibintangi oleh Liyana Jasmay dan bersiaran di TV3.

Aznil mencuba nasib sebagai pengarah filem apabila beliau mengarahkan filem pertamanya, Aku No. 1 yang turut menyaksikan lakonan beliau bersama Azwan Ali. Filem ini dikeluarkan pada 19 Ogos 2004 dan menjadi kejayaan komersial, filem terbitan Boommax Sdn. Bhd. itu berjaya mengutip RM1 juta hasil jualan tiketnya.[31][32][33] Beliau sebelum ini sudah terlibat dalam lakonan filem Sama Tak Serupa pada 1995.

Aznil tampil di layar perak sekali lagi, sebagai watak jahat Prof Klon dalam filem Cicak-Man yang ditayangkan pada 2006.[34] Sempena perayaan Aidilfitri pada tahun itu, beliau menyumbang suara kepada Rodney Copperbottom dalam alih suara bahasa Malaysia bagi filem Robots.

Beliau juga menyumbangkan suaranya untuk watak Tuan Vilus dalam filem animasi pengembaraan sukan 2013, Bola Kampung The Movie yang berdasarkan daripada siri animasi dengan judul sama terbitan Animasia Studios.[35][36]

Beliau juga menjayakan peranan undangan sebagai pengacara TV dalam filem romantik, Makrifat Cinta arahan Kamal G lakonan Syamsul Yusof, Nora Danish dan Puteri Balqis.[37]

Perniagaan produk

Pada 30 Mei 2016, beliau melancarkan produk penjagaan wajah dengan jenama Anell by Aznil Nawawi. Produk tersebut terdiri daripada sabun pencuci muka, penyegar, krim pelembab siang dan malam, beliau juga memiliki 40 peratus pemilikan dalam penghasilan produk tersebut.[38][39][40][41]

Aktivisme dan kedermawanan

Sepanjang kerjayanya, Aznil terlah terlibat dalam pelbagai acara-acara amal dan kempen kemasyarakatan. Pada tahun 2007, Yayasan Budi Penyayang Malaysia yang diasaskan oleh Allahyarhamah Tun Endon Mahmood juga telah melantik Aznil sebagai Duta Perpaduan yang bersama-sama dengan Datuk Siti Nurhaliza untuk kempen Warna-warna Malaysiaku.[42]

Pada tahun 2010, beliau telah dilantik oleh Mines Event Management Sdn Bhd telah melantik bsebagai duta Mega Bookfair READ Malaysia 2010 yang dianjurkan dari 4 hingga 13 Jun untuk menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran, dalam usaha beliau untuk menggalakkan golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka, Aznil juga menghulurkan tangannya ke dalam menganjurkan hari-bengkel untuk mengajar kanak-kanak sekolah rendah di pengucapan awam.

Mines Event Management Sdn Bhd juga telah melantik beliau sebagai duta Mega Bookfair READ Malaysia 2010 yang dianjurkan dari 4 hingga 13 Jun 2010 untuk menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran, dalam usaha beliau untuk menggalakkan golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka, Aznil juga menghulurkan tangannya ke dalam menganjurkan hari-bengkel untuk mengajar kanak-kanak sekolah rendah di pengucapan awam.

Aznil turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi kempen anti-denggi, Jom Ganyang Aedes dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Penglibatan beliau dalam kempen ini adalah satu tanggungjawab sosial kepada negara dan untuk menarik minat masyarakat dalam memerangi gejala demam denggi dan pembiakan nyamuk Aedes.[43][44][45][46][47] Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata pemilihan Aznil untuk memikul tanggungjawab itu kerana beliau merupakan seorang pengacara televisyen dan radio berpendidikan dan popular, serta disenangi oleh pelbagai golongan masyarakat tanpa mengenal usia dan keturunan.[48]

Aznil juga memainkan peranan yang sangat penting dengan Kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia untuk bayi terabai.[49][50]

Beliau juga telah disenaraikan dalam Top 10 Selebriti Paling Berpengaruh Di Malaysia oleh The Star bersama Datuk Lat, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Bernard Chandran dan Datuk Jimmy Choo.[51]

Aznil juga bertindak sebagai penaung dan penaja untuk Festival Tari Kanak-kanak yang dianjurkan oleh Kolej Kinabalu Universiti Malaya. Ini adalah selaras dengan kepentingan beliau untuk memupuk tarian tradisional Melayu di kalangan orang-orang muda.

Pada Januari 2012, Aznil bersama-sama Phoebe Yap Siok Wah dan G.Uthaya Kumar telah dilantik sebagai Duta Sihat 1Malaysia selama setahun. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemilihan ketiga-tiga selebriti tersebut, yang merupakan pengacara popular serta disenangi pelbagai golongan masyarakat adalah bagi membantu mempromosi amalan cara hidup sihat serta mencegah penyakit denggi serta penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD).[52]

Pada Mac 2015, Beliau telah dilantik sebagai Ikon Cinta Malaysia oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas kredibiliti dan imej mesra peminat yang dimiliki oleh beliau.[53] Pelantikan beliau bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat di luar sana mengenai pembayaran cukai pendapatan.[53]

Pada 30 November 2016, Aznil telah dipilih sebagai penerima Tokoh Ikon Bahasa oleh Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).[54] Pemilihan beliau dibuat oleh jawatankuasa Pemilihan Tokoh Pejuang Bahasa PLM Tahun 2016 yang bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada individu yang puluhan tahun secara konsisten memperjuangkan maruah dan martabat bahasa Melayu di negara ini. Anugerah yang diterima oleh beliau merupakan anugerah khas yang pertama kali diperkenalkan sebagai penghargaan kepada ikon yang banyak membantu mempromosikan baha­sa Me­layu kepada masyarakat di Malaysia.[55]

Pada Januari 2017, beliau dilantik sebagai ikon kepada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau menerima watikah pelantikan ikon SBJK daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, di Kementerian Pendidikan, hari ini. Pelantikan beliau adalah berdasarkan beberapa kriteria yang dimilikinya termasuk sering terbabit secara langsung dalam aktiviti sosial, ekonomi, pendidikan dan khidmat masyarakat. Pelantikan Aznil sebagai ikon SBJK berkuatkuasa 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2018.[56][57][58][59][60][61][62]

Kehidupan peribadi

Beliau mempunyai tiga orang cahaya mata: Fildza Haifa (Fifi), Fariq Haizen (Riki), dan Firdaus Hariz (Riz), hasil perkahwinannya dengan bekas isterinya, Zauyah Tarmizi.[63]

Pada 27 Jun 2016, ibu beliau Norbaiti Surur meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court pada usia 90 tahun akibat sakit tua. Aznil memaklumkan sendiri berita pemergian ibunya menerusi aplikasi WhatsApp.[64] Aznil berkata, dia reda dengan pemergian ibunya selepas hampir tiga tahun terlantar di rumah. Jenazah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Keramat, di sini, pada 10.45 pagi tadi yang turut dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga terdekat, saudara-mara dan rakan beliau.[65][66]

Pencapaian cemerlang

Aznil bersama trofi kemenangannya.

Pada 22 Ogos 2008, Aznil menerima Anugerah Galakan Ketrampilan Berbahasa Televisyen 2007, sempena majlis anugerah Citrawangsa 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di atas penglibatannya memartabatkan bahasa Melayu di dalam program TV terbitannya.

Pada 1 Februari 2013, sempena Hari Wilayah Persekutuan, Aznil menjadi antara 283 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat, dalam istiadat penganugerahannya yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara. Beliau merupakan antara 41 individu dikurniakan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sekaligus membawa gelaran Datuk.[67][68][69]

Selain beliau,[67] antara yang turut menerima darjah sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Noriah Hashim; Setiausaha Bahagian (Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaini Arshad dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Harjeet Singh Hardev Singh; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Che Azemi Haron dan Pengarah (Bahagian Saraan) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Raja Noor Zaedah Raja Ahmad.[67] Turut menerima darjah sama ialah Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tan Sri Cheng Heng Jem dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.[67]

Filemografi

Filem

TahunTajukWatakCatatan
1995Sama Tak SerupaFariqFilem pertama
2004Aku No. 1AznilJuga sebagai pengarah dan penulis
2005Pontianak Harum Sundal Malam IIPasangan Kekasih LelakiPelakon undangan
2006Cicak-ManProfesor Klon
2007OtaiPengacara Program Otai
2008Cicakman 2 - Planet HitamProfesor Klon
2010MagikaPak Pandir
2012Hoore! Hoore!Rizal
2013Bola Kampung The MovieTuan Vilus (suara)
2015RibbitMat Rompi (suara)Alih suara BM
2018Makrifat CintaPengacara TV

Drama

TahunTajukWatakSaluran TVCatatan
1995–1996SambalTok SuekTV3Pelakon undangan
1997Si LembikSebagai pengarah
2021Ramadan Pertama EdiPak SobriAstro Ria

Telefilem

TahunTajukWatakSaluran TVCatatan
2003SpymanVCD
2010Pak Nil... Ibu Kirim SalamPak NilAstro PrimaPenampilan khas

Televisyen

TahunTajukSebagaiSaluran TVCatatan
1992–1999Pop KuizPengacaraTV3Rancangan televisyen pertama
1993Anugerah Juara Lagu ke-8mengacara bersama Azwan Ali dan Ogy Ahmad Daud
1998-1999Ad-LibTV1
1999-2000HMI Istimewa
2000Kamera APO?NTV7
2001POP TVTV1mengacara bersama Avaa Vanja
Bintang RTM
2003–2007, 2011Akademi FantasiaAstro Ria
2003Anugerah Juara Lagu ke-18TV3mengacara bersama Sarimah Ibrahim
2003–2004MelodiSelama setahun sebelum menandatangani kontrak secara eksklusif bersama Astro pada Oktober 2004
2004–2011Macam-macam Aznil[70]Astro Ria
2007Anugerah Planet Muzik 2007Astro Ria, Mediacorp Suria
2007–2019Tom Tom BakAstro Ceria
2008Jangan Lupa LirikAstro Ria
2012Anugerah Industri Muzik ke-19Astro Ria
Mania!
2013Clever! Edisi MalaysiaAstro TVIQ
2014HLive Apa Kata MalaysiaAstro Ria
Lagi Riuh Macam-Macam Aznil
2015Seiras Seirama
2016LePakNil
2017Go Shop Pak NilAstro Go Shop
Akademi Fantasia MegastarAstro Ria
2019Mikrofon Impian
Ceria Megastar MinistarJuriAstro Ceria
2020–2024The Masked Singer MalaysiaAstro Warna
2021Panggung MemoriPengacara
2021–2022The Masked Singer Malaysia ReunionJuri
Hard To HeartPengacaraAstro Ria
2022Karaoke Superstarmengacara bersama Ain Edruce
2022–2023All Together Now Malaysia (musim 2)Juri
2022–2023Raja ViralPengacaraYouTube
2023InnovathonMentorAstro Ria

Radio & Siniar

TahunTajukSaluran/Aplikasi Siniar
2024Studio Sembang bersama Amelia HendersonATHQ Media
Borak Selebriti bersama Dina Nadzir dan Falyq HikyleSinar

Radiografi

Radio

TahunTajukStesen
5 Januari 2009 - 1 Disember 2011Riuh Pagi Era & Carta Era 40Era
4 Mac 2024 - kiniPagi On Point ExtendedKool 101

Diskografi

Album

TajukMaklumat album
Macam-Macam[71][72]
Aznil[73][74]

Single

TajukTahunAlbum
"Jumpa Di Sana"1996Macam-Macam
"Jangan Cepat Marah"2006Ini Baru Power 2
"Profesor Klon"2007OST Cicak-Man
"Teramat Sangat"2008OST Duyung

Anugerah dan penghargaan

TahunAnugerah dan pencalonanKategoriKeputusan
2003Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003Pengacara TV Lelaki PopularMenang
2004Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004Pengacara TV Lelaki PopularMenang
Anugerah Seri Angkasa 2004Pengacara TV TerbaikMenang
Rancangan Hiburan TV Terbaik (Macam-macam Aznil)Menang
Anugerah Khas Media HiburanAnugerah KhasMenang
2005Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005Pengacara TV Lelaki PopularMenang
Anugerah Seri Angkasa 2005Pengacara TV TerbaikMenang
Anugerah Televisyen Asia 2005Rancangan Bual Bicara Terbaik (Macam-macam Aznil)Menang
2006Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006Pengacara TV Lelaki PopularMenang
2007Anugerah Skrin 2007Bual Bicara Terbaik (Kategori Penerbitan Dalaman)Menang
2008Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007Pengacara TV Lelaki PopularMenang
2009Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008Pengacara TV Lelaki PopularMenang
2010Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009Pengacara TV Lelaki PopularMenang
2011Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011Pengacara TV Lelaki PopularMenang
Anugerah TV3 MyKidsPengacara Paling BerinspirasiMenang
2018Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017Pengacara TV PopularTercalon
2022Anugerah MeleTOP Era 2021Anugerah KhasMenang
Anugerah Seri Angkasa 2022Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik (Ramadan Pertama Edi)Tercalon
  •  Malaysia :
    • Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) -Datuk (2013)

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar