Anjing gembala Shetland

baka anjing dari Scotland

Anjing gembala Shetland,[a] juga dikenali sebagai sheltie,[b] ialah satu baka anjing gembala yang berasal dari Kepulauan Shetland dari Scotland. Ia diiktiraf secara formal oleh The Kennel Club pada tahun 1909. Ia pada asalnya dipanggil collie Shetland,[c] tetapi ini mencetuskan kontroversi dalam kalangan pembiak baka collie kasar pada masa itu, maka nama baka ini diubah secara rasmi.[1] Ia merupakan anjing kecil, pintar, vokal, berkeinginan untuk menyenangkan, dan boleh dipercayai.

Anjing gembala Shetland
Anjing gembala Shetland sabel
Nama lain
  • Collie Shetland (usang)
  • Anjing gembala kerdil Scotland (usang)
Nama ringkasSheltie
Negara asalScotland
Trait
BeratJantan5.0–10.9 kg (11–24 lb)
Betina5.0–10.9 kg (11–24 lb)
TinggiJantan33–41 cm (13–16 in)
Betina33–41 cm (13–16 in)
Bululapis bulu ganda panjang
Warna
  • sabel
  • sabel mahogani
  • sabel terlorek
  • triwarna
  • dwihitam
  • dwibiru
  • merle biru
  • merle dwibiru
  • merle sabel
  • putih dengan kepala berwarna
  • merle gelap
  • hitam dan sawo matang
Saiz perinduk4–6 ekor anak anjing
Anjing (Canis lupus familiaris)

Seperti kuda padi Shetland, lembu Shetland, dan biri-biri Shetland, anjing gembala Shetland ialah baka tahan lasak namun diminutif yang dikembangkan untuk bertahan dalam keadaan mencabar dan daif di kepulauan aslinya. Walaupun anjing gembala Shetland masih cemerlang dalam penggembalaan, kini ia kerap dibela sebagai anjing pekerja dan/atau anjing peliharaan keluarga.[2]

Asal usul anjing gembala Shetland adalah kabur, tetapi ia bukan keturunan langsung bagi collie kasar, yang dengannya ia serupa. Sebaliknya, anjing gembala Shetland ialah keturunan bagi spesimen-spesimen kecil bagi collie Scotland dan King Charles spaniel. Ia pada asalnya merupakan anjing baka kacuk kecil, kerap hanya setinggi sekitar 20–30 cm (8–12 in) pada paras bahu dan anjing gembala Shetland asli disangkakan merupakan anjing daripada jenis spits dan disilangkan dengan collie dari tanah besar Britain.[1] Pada awal abad ke-20, James Loggie menambahkan seekor collie kasar kecil kepada ternakan pembiakbakaan dan membantu untuk mengasaskan baka yang kemudian menjadi anjing gembala Shetland moden.

Sejarah

Fotograf seekor anjing gembala Shetland dari tahun 1915

Tidak seperti banyak baka katik yang menyerupai padanan lebih besar masing-masing, baka ini tidak dikembangkan hanya dengan membiakbakakan collie kasar secara terpilih untuk saiz semakin kecil. Anjing gembala asli Shetland ialah anjing jenis spits yang barang kali serupa dengan anjing gembala Iceland moden.[perlu rujukan] Bukti kuat mencadangkan bahawa anjing ini dibiakbakaka dengan Yakki, anjing Iceland yang menemani pemburu paus dari Greenland yang mendarat di pelabuhan-pelabuhan di pulau itu. Yakki adalah setinggi 14 inci (36 cm) dan biasanya berwarna hitam dengan tanda-tanda sawo matang atau putih. Banyak anjing gembala Shetland awal berwarna hitam dan putih atau hitam dan sawo matang dan pewarnaan masih dapat dilihat pada muncung pada sesetengah anjing sabel kini yang muncungnya dirujuk sebagai "smutty muzzle" ("muncung comot"). Cerita rakyat juga menyebut seekor King Charles spaniel yang datang dari sebuah kapal pesiar. Keleluhuran anjing Pomerania mempunyai kemungkinan berdasarkan penampilan baka ini. Kelab pertama untuk baka ini mensyaratkan anjing yang serupa dengan collie kasar kecuali dari segi saiz. Piawaian mensyaratkan anjing yang tidak lebih tinggi daripada 15 inci (38 cm). Kelab lain mensyaratkan piawaian serupa dengan baka ini yang pada intinya merupakan anjing katik. Piawaian-piawaian ini menyebabkan orang menambahkan darah collie ke dalam baka ini untuk mencapai jenis tersebut. The Kennel Club pada asalnya enggan mengiktiraf baka ini tetapi kemudian bersetuju dengan syarat agar namanya diubah daripada Shetland Collie oleh sebab tentangan daripada kelab-kelab baka collie.[1] Anjing gembala jenis spitz asli Shetland kini pupus setelah digantikan untuk penggembala di sana oleh collie sempadan. Anjing gembala Shetland digunakan untuk penggembalaan sehingga pertanian ternakan komersial memerlukan baka-baka lebih besar.[3]

Apabila baka ini pada asalnya diperkenalkan, para pembiak baka memanggilnya Shetland Collie ("collie Shetland") yang menyinggung para pembiak baka collie kasar. Maka, namanya diubah kepada Shetland Sheepdog ("anjing [gembala/biri-biri] Shetland").[1][4] Pada awal abad ke-20 (sehingga tahun 1940-an), persilangan tambahan dibuat kepada collie kasar untuk membantu untuk mengekalkan jenis collie kasar yang diingini – sebenarnya, ibu kepada anjing gembala Shetland juara Inggeris pertama, Gesta, ialah seekor collie kasar.[5] Tahun 1909 menyaksikan pengiktirafan awal bagi anjing gembala Shetland oleh The Kennel Club dengan anjing gembala Shetland berdaftar pertama yang merupakan seekor betina bernama Badenock Rose. Anjing gembala Shetland pertama yang didaftarkan oleh American Kennel Club ialah "Lord Scott" pada tahun 1911.[6]

Penampilan

Seekor anjing gembala Shetland sabel

Penampilan umum anjing gembala Shetland adalah seperti collie kasar katik.[1] Ia merupakan anjing kecil berlapis bulu ganda dengan kepala berbentuk baik. Ia mempunyai lapis bulu panjang yang menjadi pendek di sekeliling muka yang memberikan penampilan surai.

Bulu dan warna

Seekor anjing gembala Shetland merle biru
Seekor anjing gembala Shetland dwibiru dengan mata biru yang disebabkan oleh faktor merle
Anjing gembala Shetland merle biru

Anjing gembala Shetland mempunyai lapis bulu ganda, yang bermakna bahaw aia mempunyai dua lapis bulu. Lapis bulu luar terdiri daripada bulu panjang dan "bertekstur kasar dan lurus". Lapis bulu bawah pula lembut, pendek, dan dekat dengan kulit. Lapis bulu panjang patut menghasilkan penampilan surai. Mukanya berbulu licin.[7]

Anjing gembala Shetland mungkin terdapat dengan warna-warna berikut:

  • Sabel – sama ada sabel jernih atau bercahaya warna daripada emas pucat hingga mahogani. Sabel serigala dan kelabu merupakan warna yang tidak diingini.
  • Triwarna – dengan hitam pekat pada tubuh dan tanda-tanda sawo matang pekat diutamakan.
  • Merle biru – biru perak dengan hitam percik dan bertelau yang diutamakan. Kesan umum bagi lapis bulu mesti berwarna biru. Tanda-tanda sawo matang pekat juga diutamakan tetapi tiada penalti atas ketidakhadiran ciri ini. Tanda-tanda hitam pekat, sentuhan batu loh atau karat pada lapis bulu amat tidak diingini.
  • Hitam dan putih; dan hitam dan sawo matang[7]

Tanda-tanda putih mungkin muncul pada mana-mana lapis bulu selain hitam dan sawo matang tetapi tompok-tompok pada tubuh tidak diingini.[7]

Ketinggian

Seekor sheltie berusia 12 bulan di Mull

Ketinggian unggul pada paras kelasa ialah 14 12 inci (37 cm) untuk jantan dan 14 inci (35.5 cm) untuk betina. Variasi ketinggian yang 1 inci (2.5 cm) lebih daripada ketinggian ini tidak diingini.[7]

Telinga

Seekor anak anjing gembala Shetland triwarna. Telinga menyenget, iaitu telinga tegak yang sebahagiannya terlipat, ialah trait yang diingini.

Telinga anjing gembala Shetland adalah kecil dan sederhana lebar di pangkal yang terletak dekat dengan atas kepala. Apabila berwaspada, telinganya separa tegak dan dihalakan ke hadapan.[7]

Mata

Matanya bersaiz sederhana dan berbentuk badam. Matanya sentiasa perang gelap kecuali pada anjing dengan lapis bulu merle yang mempunyai sama ada salah sebiji atau kedua-dua biji mata yang mungkin biru.[7]

Kepala

Kepalanya halus tanpa ada ciri berlebihan. Kepalanya mempunyai baji panjang yang menirus dari telinga ke hidung. Tulang oksiput tidak menonjol. Pipinya rata untuk menyokong muncung cukup membulat. Muncungnya sepanjang tengkorak yang terbahagi di sudut mata. Bahagian-bahagian mukokutaneus bagi muka berpigmentasi hitam.[7]

Tubuh

Lehernya cukup melengkung dan berotot. Tungkainya berotot. Anjing ini lebih panjang sedikit daripada ketinggiannya dengan dada dalam.[7]

Perangai

Selain perbezaan saiz, anjing gembala Shetland dan collie kasar kelihatan sangat serupa.

Menurut Dr. Stanley Coren, pakar kecerdasan haiwan, anjing gembala Shetland ialah salah satu baka anjing paling pintar yang menduduki tempat ke-6 daripada 138 baka yang diuji. Penyelidikan beliau mendapati bahawa rata-rata anjing gembala Shetland dapat memahami arahan baharu dalam kurang daripada lima ulangan dan akan mematuhi arahan pada penyampaian arahan kali pertama dalam 95% daripada masa atau lebih baik.[8]

Kesihatan

Anjing gembala Shetland dwihitam yang melepasi lompatan ketangkasan

Sebuah kajian di Jepun tentang data perkuburan haiwan peliharaan mendapati jangka hayat sebanyak 14.3 tahun dengan 239 ekor — lebih tinggi daripada 13.7 tahun untuk jangka hayat keseluruhan.[9] Sebuah kajian United Kingdom mendapati jangka hayat sebanyak 13.4 tahun yang lebih tinggi daripada kedua-dua kumpulan baka silang (12) dan kumpulan saiz kecil hingga sederhana (12.7).[10]

Anjing gembala Shetland cenderung terhadap keadaan dermatologi berikut: penyakit kulit alahan, erupsi drug kutis, histiositosis kutis, lupus kutis atau lupus sistemik, dermatomiositis, dan tumor sel Sertoli.[11]

Anjing gembala Shetland mempunyai risiko sebanyak empat kali ganda berbanding dengan anjing lain untuk menghidap karsinoma sel peralihan, iaitu kanser pundi kencing.[12]

Sebuah kajian Amerika Utara ke atas lebih daripada sejuta skor pinggul pada anjing yang berusia lebih daripada dua tahun mendapati bahawa anjing gembala Shetland mempunyai prevalens kelima terendah daripada enam puluh baka — 4.2% daripada jumlah anjing gembala Shetland menghidap displasia pinggul.[13]

Penyakit von Willebrand ialah gangguan perdarahan terwaris. Anjing gembala Shetland terjejas akibat kedua-dua jenis I dan jenis II.[14]

Anomali mata collie ialah trait terwaris resesif autosom yang mengakibatkan penutupan tidak lengkap bagi fisur embrio yang terlihat hampir secara eksklusif pada collie, collie sempadan, dan anjing gembala Shetland.[15]

Anjing gembala Shetland ini yang kebanyakannya putih mempunyai beberapa kecacatan pengakuran, seperti telinga mencucuk, pewarnaan putih terlalu banyak (oleh sebab dirinya yang merupakan merle ganda), mikroftalmia, dan tompok-tompok merah jambu pada hidung. Anjing ini tidak dianggap sebagai ternakan pembiakbakaan.

Mutasi gen MDR1 menyebabkan kepekaan terhadap ubat tertentu seperti ivermektin. Kepekaan ini telah diperhatikan pada anjing gembala Shetland. Mutasi MDR1 telah dikenal pasti pada anjing gembala Shetland dan baka ini dikenali pasti cenderung dalam sebuah kajian di Amerika Syarikat.[16] Oleh sebab mutasi genetik ini, anjing terjejas mungkin menunjukkan kepekaan atau tindak balas buruk terhadap banyak ubat, termasuk asepromazina, butorfanol, doksorubisin, eritromisin, ivermektin, loperamida, milbemisin, moksidektin, rifampin, selamektin, vinblastina, dan vinkristina.[17][18]

Dermatosis berulser pada anjing gembala Shetland sheepdog dan collie kasar (UDSSC) ialah penyakit yang dipercayai sebagai varian vesikel bagi lupus eritematosus diskoid. Ini ialah dermatosis berulser yang menjejaskan paha, selangkang, ketika, dan abdomen ventral.[19]

Sebuah kajian United Kingdom mendapati predisposisi ketara terhadap mukosele pundi hempedu, dengan baka ini yang 93.87 kali lebih berkemungkinan menghidap keadaan ini berbanding dengan lain.[20] Sebuah kajian yang meneliti peningkatan insiden penyakit hati hempedu pada anjing gembala Shetland mendapati bahawa suatu mutasi selitan bagi gen ABCB4 yang berlaku pada anjing gembala Shetland — serta pada baka lain — mempunyai perkaitan ketara dengan prevalens mukosele pundi hempedu.[21]

Kehidupan kerja

Seperti namanya, anjing gembala Shetland dapat dan telah digunakan sebagai anjing gembala dan masih menyertai ujian anjing gembala sehingga kini. Anjing gembala membawa haiwan ternakan dari tempat ke tempat dengan menyebabkan tingkah laku perkumpulan ketakutan dan pelarian.[22][halaman diperlukan]

Kegiatan

Dalam kumpulan saiznya, baka ini mendominasi ketangkasan anjing, kepatuhan, kemahiran persembahan, flyball, penjejakan, dan penggembalaan.[perlu rujukan] Naluri dan kebolehlatihan penggembalaan dapat diukur dalam ujian penggembalaan tanpa persaingan. Anjing gembala Shetland yang menunjukkan naluri penggembalaan asasi dapat dilatih untuk bertanding dalam ujian penggembalaan.[23]

Anjing gembala Shetland masyhur

  • Ch Halstor's Peter Pumpkin ROM[24] - Bapa anjing gembala Shetland dengan paling banyak juara (160).[25]
  • Badenock Rose – anjing gembala Shetland pertama yang berdaftar dengan The Kennel Club.[6]
  • Mickey – watak utama siri kanak-kanak Kanada Mickey's Farm[26]

Lihat juga

  • Baka haiwan Shetland

Catatan

Rujukan

Pautan luar